Juan Muniz sah ‘angkat kaki’

 Tonggak tengah import Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Muniz, telah mengesahkan perpisahannya secara rasmi daripada kelab selepas tiga musim berkhidmat. Pengumuman tersebut dibuat menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram peribadinya, sekali gus menandakan penutupan babak penting dalam karier bola sepaknya.

Dalam kenyataan yang penuh emosi itu, Muniz menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta Pengarah Sukan kelab, Kiko Insa. Ucapan penghargaan turut diberikan kepada rakan sepasukan dan penyokong setia Harimau Selatan.

“Selepas tiga tahun yang tidak dapat dilupakan, sudah tiba masanya untuk menutup satu bab yang sangat istimewa dalam hidup saya,” tulis Muniz.

Bekas pemain tengah itu menambah, Johor sentiasa akan berada di hatinya dan dia menghargai setiap kenangan yang dilalui bersama skuad Harimau Selatan.

“Terima kasih yang tulus ikhlas kepada Bos @hrhcrownprinceofjohor dan Pengarah Sukan @kikoinsabohigues kerana mempercayai saya sejak hari pertama.

“Terima kasih juga kepada rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan semua penyokong kerana menjadikan perjalanan ini begitu luar biasa. Johor akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya. Jumpa lagi di masa hadapan!”

Muniz, yang menjadi antara pemain import paling berpengaruh JDT dalam beberapa musim kebelakangan ini, turut menjadi salah seorang daripada tiga calon akhir untuk kategori Pemain Import Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.

Walaupun anugerah tersebut dimenangi oleh rakan sepasukannya, Bergson da Silva, Muniz tetap dikenang dengan prestasi luar biasa, termasuk detik gemilang ketika final Piala FA musim lalu. Dalam aksi tersebut, beliau meledak hatrik menentang Selangor untuk membantu JDT merangkul kejuaraan dengan kemenangan besar 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Peminat JDT dan pemerhati bola sepak tempatan pastinya akan merindui kelibat pemain tengah berbakat ini yang terkenal dengan kreativiti dan ketenangan mengawal permainan.

Dengan pemergian rasmi ini, tumpuan kini terarah kepada masa depan Muniz, sama ada beliau akan terus beraksi di liga lain atau menamatkan kariernya.

Apa pun keputusan yang akan diambil selepas ini, nama Juan Muniz pasti terpahat dalam sejarah kegemilangan JDT sebagai salah satu watak penting dalam era dominasi mereka di Liga Malaysia.