Budak 12 tahun gegar dunia renang

 Singapura menjadi saksi kepada kemunculan luar biasa seorang bintang muda baharu dalam dunia sukan renang apabila Yu Zidi dari China, yang baru berusia 12 tahun, berjaya mencuri perhatian di Kejohanan Akuatik Dunia. Dalam penampilan sulungnya di pentas tertinggi ini, Yu layak ke tiga acara final individu dan turut menyumbang pingat untuk negaranya dalam acara berganti-ganti.

Persembahan cemerlang Yu ini hadir dalam suasana kompetitif yang menyaksikan rekod-rekod dunia serta kejohanan berjaya dipecahkan. Dalam kejohanan yang berlangsung selama lapan hari dan berakhir pada Ahad, sebanyak tiga rekod dunia dan 15 rekod kejohanan telah berjaya dicatatkan. Penguasaan masih dipegang oleh Amerika Syarikat dan Australia, namun kemunculan atlet muda seperti Yu menjadi antara sorotan utama edisi kali ini.

Yu mencipta rekod tersendiri sebagai perenang termuda yang pernah memenangi pingat di Kejohanan Dunia apabila beliau membantu pasukan China meraih gangsa dalam acara 4×200 meter gaya bebas wanita. Walaupun Yu hanya beraksi dalam pusingan saringan dan tidak turun dalam aksi final, sumbangan beliau tetap diiktiraf, sekaligus meletakkan namanya di podium antarabangsa.

Dalam acara individu pula, Yu hampir menyambar pingat apabila berjaya menduduki tempat keempat dalam tiga kategori utama – 200 meter kuak kupu-kupu, 200 meter rampaian individu dan 400 meter rampaian individu. Dengan usianya yang masih muda dan bertarung dengan perenang yang dua kali ganda lebih berpengalaman, pencapaian ini dianggap luar biasa.

Yu sendiri menyifatkan pengalaman bersaing dengan atlet elit dunia sebagai sesuatu yang sangat berharga. “Saya banyak belajar daripada kejohanan ini. Contohnya, saya ingin meniru teknik pusingan Summer McIntosh. Saya amat kagum dengan teknik beliau dan berharap dapat sehebat dirinya satu hari nanti,” katanya.

Kejayaan Yu turut mendapat pujian daripada nama-nama besar dalam sukan renang termasuk David Popovici dari Romania dan Gretchen Walsh dari Amerika Syarikat. Mereka menyifatkan prestasi Yu sebagai cerminan masa depan sukan akuatik dunia.

Kejohanan ini juga memperlihatkan kekuatan skuad muda China, yang menamatkan saingan di tempat ketiga dalam carta pungutan pingat keseluruhan dengan dua emas, enam perak dan enam gangsa. Mereka hanya dibezakan oleh kekuatan kontinjen Amerika Syarikat dan Australia, yang masing-masing mendominasi dari awal kejohanan.

Menurut ketua jurulatih China, Cui Dengrong, pencapaian kali ini amat bermakna kerana ia merupakan kejohanan antarabangsa pertama untuk kitaran Olimpik yang baharu. “Kami memberi tumpuan kepada pembangunan atlet dan jurulatih muda serta melakukan penilaian ke atas tahap semasa kami di arena antarabangsa,” jelasnya.

Amerika Syarikat meneruskan tradisi dominan mereka dengan pungutan sembilan pingat emas, 11 perak dan sembilan gangsa, manakala Australia berada di tangga kedua dengan lapan emas, enam perak dan enam gangsa. Secara keseluruhan, 15 negara dan wilayah berjaya meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada 42 acara yang dipertandingkan, termasuk Kanada dan Perancis yang masing-masing membawa pulang empat gelaran.

Penampilan luar biasa Yu Zidi membuka lembaran baharu dalam dunia sukan renang, sekali gus menjanjikan masa depan yang cerah buat China dalam arena antarabangsa.