Luqman Hakim Shamsudin, nama yang suatu ketika dahulu dianggap prospek cerah bola sepak negara, kini bakal mewarnai Liga Malaysia buat pertama kalinya selepas empat tahun berkelana di luar negara. Kepulangan penyerang muda berusia 23 tahun ini bukan kerana kegagalan, tetapi demi menunaikan janji yang tidak sempat ditunaikan kepada insan tercinta.
Empat tahun lalu, Luqman membuat kenyataan berani: “Saya tidak akan balik selagi tidak berjaya di luar negara.” Kata-kata itu bukan sekadar azam, tetapi prinsip hidup yang dipegang erat. Namun, takdir telah mengubah segalanya. Setelah menimba pengalaman di luar negara, termasuk Jepun, dan menghadapi pelbagai cabaran dalam perjalanan profesionalnya, Luqman akhirnya memilih untuk kembali ke tanah air.
Usaha untuk menjadi pemain bola sepak disegani bersulam dengan jatuh bangun sehingga pemain berusia 23 tahun itu akhirnya terpaksa melanggar janji keramatnya.
Destinasinya – Negeri Sembilan FC – bukan pilihan sembarangan. Ia adalah kelab pertama yang bakal disertainya dalam Liga Super Malaysia. Pemilihan ini tidak dibuat secara terburu-buru, tetapi atas dasar pengorbanan dan kasih sayang terhadap arwah bapanya, Shamsuddin Mahmud.
Segalanya berubah pada 3 November 2024 apabila Luqman menerima berita duka bahawa bapanya telah menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung. Peristiwa itu memberikan kesan mendalam terhadap dirinya, hingga menyebabkan dia hilang pertimbangan selama dua bulan. Kenangan manis dan pahit bersama arwah bapanya menghantui dirinya, khususnya detik terakhir yang tidak sempat dihabiskan bersama.
“Pengajaran saya hanya satu, saya terlampau sibuk bermain di Jepun sehingga saya tidak dapat membuat panggilan video seminggu sebelum dia meninggal dunia,” luah Luqman .
Tambahnya, dia hanya sempat menghubungi ibunya melalui pesanan ringkas dan tidak melihat wajah bapanya buat kali terakhir. Momen itulah yang kini menjadi pendorong utama buatnya untuk terus berjuang.
“Saya membawanya sebagai semangat baru buat saya untuk menunjukkan kepada ayah saya, yang sentiasa mahu melihat saya berjaya. Selain itu, ia untuk karier saya sendiri.
“Dia tahu saya kuat, dia tahu saya boleh menjadi seorang pemain bola sepak yang berjaya dan hebat,” katanya penuh emosi.
Kini, Luqman bersedia menggalas cabaran baharu bersama Negeri Sembilan. Dengan semangat yang diperbaharui dan azam yang lebih besar, dia mahu membuktikan kepada semua bahawa dirinya masih relevan dalam arena bola sepak negara.
Kepulangannya bukan sekadar untuk bermain, tetapi untuk menyambung perjuangan yang pernah dijanjikan kepada ayahnya. Dengan pengalaman yang ditimba di luar negara, harapan kini disandarkan agar Luqman menjadi inspirasi kepada generasi baharu pemain bola sepak Malaysia.