sukan

Jumlah kejuaraan di bawah Herry selepas 6 bulan di Malaysia

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, menyatakan beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi skuad bimbingannya walaupun skuad beregu negara telah mencatat lima kejayaan sepanjang enam bulan pertamanya sejak mula membimbing pasukan kebangsaan pada Februari lalu.

Terkini, pasangan muda negara, Wan Arif Wan Junaidi dan Yap Roy King, berjaya mencipta sejarah apabila muncul juara Terbuka Macau. Mereka menundukkan gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani dengan keputusan 22-20, 21-18 dalam perlawanan akhir yang berlangsung selama 80 minit di Macao East Asian Games Dome, semalam.

Kemenangan ini merupakan gelaran kelima bagi kem beregu lelaki negara pada musim ini di bawah bimbingan jurulatih yang dikenali dengan julukan ‘Naga Api’. Sebelum ini, Herry memainkan peranan penting membantu pasangan utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, memenangi tiga kejohanan iaitu Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura. Mereka turut bergelar naib juara di Masters Malaysia dan Terbuka China.

Selain itu, gandingan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun turut menyumbang satu kejuaraan menerusi kejayaan di Masters Malaysia. Keseluruhan lima kejuaraan yang dimenangi menjadi bukti keberkesanan pendekatan latihan Herry yang dimulakan sejak awal tahun.

Bagaimanapun, jurulatih dari Indonesia itu menegaskan bahawa beliau masih belum puas dan menyimpan hasrat untuk melihat pemain-pemainnya meraih kejayaan lebih besar, termasuk di Kejohanan Dunia 2025 yang bakal berlangsung di Paris hujung bulan ini.

“Saya berharap kita boleh lahirkan juara dunia tahun ini, tak kira pasangan mana. Yang penting dari Malaysia,” ujar beliau dengan penuh harapan.

Untuk rekod, Malaysia hanya pernah menjulang gelaran dunia sekali sahaja melalui kejayaan Aaron-Wooi Yik di Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo, Jepun. Kemenangan tersebut menamatkan kemarau kejuaraan Malaysia dalam kejohanan bertaraf dunia itu.

Tiga pasangan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan beraksi di Kejohanan Dunia kali ini, iaitu Aaron-Wooi Yik (ranking kedua dunia), Wei Chong-Kai Wun (ketujuh) dan Wan Arif-Roy King (ke-24). Selain itu, satu lagi wakil negara adalah pasangan profesional Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani yang kini berada di ranking keempat dunia.

Mengulas aksi final di Terbuka Macau, Herry menjelaskan bahawa fokus dan kesabaran menjadi faktor penentu kemenangan buat Wan Arif-Roy King. Perlawanan tersebut terganggu beberapa kali disebabkan air yang menitik daripada sistem pendingin hawa hingga menyebabkan gelanggang menjadi licin dan berbahaya untuk pemain.

“Perlawanan itu berlangsung 80 minit kerana banyak kali terpaksa dihentikan sebab gelanggang basah. Saya cakap pada mereka supaya terus fokus dan sabar, jangan tergesa-gesa kerana keadaan gelanggang sangat tak ideal. Strategi tak banyak digunakan, tapi kualiti fokus dan kesabaran itu paling penting,” katanya.

Menurut Herry, kejayaan ini merupakan gelaran Jelajah Dunia pertama buat Wan Arif dan Roy King. Beliau menyifatkan ia sebagai tonik terbaik menjelang Kejohanan Dunia dan akan menjadi pembakar semangat kepada pasangan muda tersebut.

“Ya, ini gelaran pertama mereka dan tentunya beri motivasi lebih tinggi untuk persiapan ke Kejohanan Dunia,” tambahnya.

Kejayaan di Macau juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila gandingan Wan Arif-Roy King menamatkan penantian 12 tahun Malaysia untuk memenangi acara beregu lelaki. Kali terakhir kemenangan seumpama ini dicapai adalah pada tahun 2013 menerusi pasangan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong.

Walaupun mengakui prestasi beregu lelaki negara kini berada pada tahap konsisten, Herry tetap menuntut lebih banyak pencapaian daripada anak-anak buahnya. Beliau mahu melihat lebih ramai pasangan negara mampu bersaing di pentas antarabangsa.

“Saya rasa pencapaian sekarang ini cukup baik dan konsisten, tapi saya nak lebih lagi. Saya harap pada masa depan kita dapat lahirkan lima atau enam pasangan yang boleh mencabar gelaran, bukan setakat dua atau tiga. Mungkin tahun depan kita akan lihat hasilnya. Harapnya jauh lebih baik daripada tahun ini,” kata beliau dengan penuh harapan.