TERKINI : Slot Separuh Tang Jie-Ee Wei nyaris dirembat

Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hampir terlepas peluang ke separuh akhir Terbuka Macau apabila kehilangan fokus di penghujung set kedua, namun tetap berjaya mara selepas menewaskan pasangan Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil.

Turun sebagai pilihan pertama kejohanan dan pasangan ranking ketiga dunia, mereka mencatat kemenangan 21-17, 22-20 dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung selama 34 minit. Aksi tersebut menyaksikan mereka bermula dengan meyakinkan, menguasai set pertama dengan kelebihan besar 11-2 sebelum menoktahkan kemenangan 21-17.

Namun, saingan menjadi lebih mencabar di set kedua apabila mereka yang pada awalnya mendahului 15-8 mula kehilangan rentak. Lawan dari Indonesia bangkit semula dan berjaya merapatkan jurang sehingga menyamakan kedudukan kepada 20-20, sekaligus mencetuskan detik mendebarkan buat penyokong Malaysia.

Dalam situasi getir itu, pengalaman dan ketenangan Chen-Toh menjadi penentu. Mereka kembali fokus dan berjaya meraih dua mata penting untuk mengelak set penentuan, sekali gus melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Kemenangan tersebut bukan sahaja memberi nafas lega, tetapi membuka harapan baharu buat gandingan negara ini untuk melakar sejarah mara ke pentas akhir buat kali pertama musim ini. Sebelum ini, mereka terkandas sebanyak empat kali di peringkat separuh akhir dalam kejohanan utama seperti Terbuka Malaysia, India, Indonesia dan Jepun.

Kini, satu lagi cabaran getir menanti apabila mereka bakal bertemu pasangan kuat dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dalam perebutan tiket ke final. Pertemuan tersebut dijangka sengit memandangkan lawan mereka juga memiliki rekod yang konsisten di peringkat antarabangsa.

Dengan prestasi semasa serta pengalaman yang semakin matang, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diyakini mampu memberikan saingan sengit dan menamatkan kemarau final yang berlarutan sejak awal musim ini.

Peminat badminton tanah air pastinya mengharapkan beregu campuran negara ini dapat mengekalkan momentum dan mempersembahkan aksi bertenaga untuk menempah tempat di pentas akhir kejohanan bertaraf antarabangsa ini.