Aksi derby London Utara versi Asia berakhir dengan kejutan apabila Tottenham Hotspur menundukkan Arsenal 1-0 hasil jaringan luar biasa Pape Matar Sarr dari jarak hampir 45 meter di Stadium Kai Tak malam tadi.
Gol tunggal perlawanan itu hadir pada minit ke-45 selepas Sarr merampas bola daripada pemain muda Arsenal, Myles Lewis-Skelly dan melihat penjaga gol, David Raya berada jauh dari kawasan penalti.
Tanpa berlengah, pemain tengah Spurs itu melepaskan rembatan ‘gila’ dari kawasan tengah padang yang terus menerjah gawang Arsenal, sekali gus mengaibkan Raya yang nyata tersilap langkah sepanjang babak pertama.
Raya sebelum itu nyaris dihukum dua kali apabila sepakan penjuru Tottenham terkena tiang, berpunca daripada kedudukan tidak meyakinkan penjaga gol itu.
Walaupun ia hanya perlawanan pramusim, pertembungan antara dua musuh ketat itu berlangsung panas dan penuh emosi di depan 49,975 penonton di stadium berhawa dingin Hong Kong itu.
Arsenal bermula garang dan cuba mengawal permainan, namun barisan pertahanan Spurs yang dikemudi pengurus baharu, Thomas Frank begitu tersusun mengekang asakan bertali arus The Gunners di separuh masa kedua.
Penyerang Gabriel Martinelli mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-58, tetapi rembatannya tersasar walaupun berada dalam posisi terbaik.
Pemain baharu Arsenal, Martin Zubimendi hampir menceriakan penyokong selepas percubaannya nyaris meledak gol penyamaan selepas masuk dari bangku simpanan.
Sorakan bergema apabila kapten Korea Selatan, Son Heung-min dimasukkan pada minit ke-75 sebelum Arsenal memperkenalkan penyerang baharu mereka, Viktor Gyokeres yang tampil buat kali pertama dengan jersi bernombor 14 yang cukup keramat milik legenda Thierry Henry.
Namun, debut Gyokeres bernilai AS$67 juta (RM313 juta) itu belum cukup memberi impak apabila Spurs kekal bertahan sehingga wisel penamat.
Tottenham kini meneruskan jelajah Asia ke Korea Selatan bagi bertemu Newcastle, manakala Arsenal menamatkan siri jelajah mereka selepas aksi di Singapura dan Hong Kong.