‘JDT sapu bersih lagi’

Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi berada di landasan kukuh untuk meneruskan dominasi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026. Menurut penganalisis sukan terkenal, Datuk Dr Pekan Ramli, skuad Harimau Selatan mempunyai segala ramuan untuk mencipta sejarah dengan mengekalkan kejuaraan ‘quadruple’ buat kali keempat berturut-turut.

Dengan persiapan rapi dan barisan pemain bertaraf bintang, JDT dilihat sebagai pasukan paling lengkap menjelang musim baharu yang akan bermula pada 8 Ogos. Pekan menekankan bahawa kejayaan JDT bukan sekadar hasil kemampuan kewangan, tetapi juga hasil perancangan strategik dan visi jangka panjang yang dibawa oleh pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail.

“Mereka membawa masuk ramai pemain berkualiti termasuk pemain import dan warisan seperti Hector Havel dan Joao Figueiredo. Ini membuktikan kesungguhan JDT bukan hanya untuk kekal dominan dalam Liga M, tetapi juga untuk melakar kejayaan lebih besar di pentas Asia,” kata Pekan.

Menurutnya, kehadiran wajah-wajah baharu ini menunjukkan betapa seriusnya JDT dalam misi memperkukuh kedudukan mereka, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

“JDT tidak lagi mahu sekadar menjadi antara 16 pasukan terbaik ACLE. Sasaran mereka lebih tinggi. Oleh itu, rombakan besar dilakukan bagi memastikan kelab berada pada tahap terbaik,” jelas beliau.

Pekan turut menyatakan keyakinannya bahawa dalam pertandingan domestik, JDT berpeluang besar untuk menyapu bersih empat trofi utama iaitu Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

JDT bakal memulakan kempen musim ini dengan menentang Selangor FC dalam perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim. Perlawanan ini bukan sekadar membuka tirai musim baharu, tetapi juga bakal menjadi pentas awal untuk mengukur sejauh mana kekuatan sebenar kedua-dua pasukan.

Bagi saingan Piala FA, Harimau Selatan akan bertemu Universiti Malaya Damansara United (UMD United) dalam pusingan 16 terbaik. Lawan dari Liga A1 itu dijangka memberi cabaran tersendiri, namun kelebihan jelas memihak kepada juara 11 kali berturut-turut Liga Super tersebut.

Dalam masa yang sama, Pekan turut menyentuh tentang pasukan lain seperti Selangor, Sabah, Terengganu dan DPMM FC dari Brunei. Katanya, tiada satu pun dari pasukan ini menunjukkan usaha yang cukup signifikan dari segi pembelian pemain untuk mencabar dominasi JDT.

“Saya lihat mereka masih mengekalkan ramai pemain biasa. Ada juga pemain yang berpindah dari satu kelab ke kelab lain. Tidak banyak perubahan besar dilakukan. Ini memberi kelebihan kepada JDT untuk terus berada di hadapan,” ulasnya.

Tambahnya lagi, walaupun saingan musim ini dijangka sengit, beliau masih menaruh keyakinan bahawa JDT berupaya sekurang-kurangnya merangkul tiga daripada empat piala utama. Jika momentum dan konsistensi dikekalkan, tidak mustahil mereka akan menyapu bersih kesemua piala sekali lagi.

Dengan segala persiapan yang dijalankan, barisan pemain yang mantap dan perancangan yang teliti, JDT kini berada pada tahap paling bersedia untuk mempertahankan keunggulan mereka di peringkat domestik dan antarabangsa. Semua mata kini tertumpu kepada skuad Harimau Selatan, yang berazam menambah satu lagi musim gemilang ke dalam sejarah bola sepak Malaysia.