Peningkatan ranking skuad Harimau Malaya yang dikendalikan oleh jurulatih Peter Cklamovski mencuri perhatian apabila pasukan kebangsaan kini menghuni tangga ke-125 dunia. Kemaskini terbaru daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menunjukkan peningkatan enam anak tangga berbanding kedudukan ke-131 pada April lalu, hasil persembahan konsisten skuad negara dalam aksi antarabangsa.
Keputusan seri 1-1 menentang Cape Verde dan kemenangan meyakinkan 4-0 ke atas seteru serantau, Vietnam, menjadi antara faktor utama yang melonjakkan kedudukan pasukan. Bagaimanapun, Cklamovski menegaskan bahawa peningkatan ranking bukanlah fokus utama dalam perancangan beliau.
Menurut pengendali kelahiran Australia itu, keutamaan beliau adalah untuk melihat peningkatan dalam prestasi keseluruhan pasukan dan memastikan pemain menunjukkan kemajuan berterusan dalam setiap perlawanan yang diharungi.
“Kalau kita terus menang (dalam perlawanan), ranking kita pun sudah pasti akan terus meningkat. Ia adalah sesuatu yang mudah seperti itu tetapi saya tidak terlalu fokus kepada perkara sebegitu,” katanya.
Tambahnya lagi, “Saya fokus kepada bagaimana supaya kita dapat meningkatkan pasukan ini untuk melakukan sesuatu yang istimewa. Kita buat sesuatu yang istimewa, ranking kita akan meningkat naik dan semua orang akan gembira.”
Cklamovski mengakui bahawa proses peningkatan bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan usaha serta komitmen tinggi daripada semua pihak, termasuk pemain, barisan kejurulatihan dan penyokong. Beliau menyeru agar semua pihak terus memberi tumpuan kepada pembangunan pasukan dan tidak terlalu terbuai dengan kejayaan semasa.
“Cabaran yang perlu kita hadapi adalah untuk terus meningkatkan apa yang sudah kita lakukan. Kita fokus terhadap apa yang perlu kita lakukan dan saya tidak mahu semua orang di negara ini terlalu teruja dengan kemenangan ke atas Vietnam.”
“Saya menganggap ia sebagai perlawanan di mana kita mendapat tiga mata. Memang kita menjaringkan empat gol, malam yang istimewa di Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi ia hanyalah tiga mata,” katanya lagi.
Pandangan tersebut jelas menunjukkan pendekatan profesional yang diambil oleh jurulatih berusia 45 tahun itu. Baginya, pencapaian sebenar bukanlah terletak pada angka ranking semata-mata, sebaliknya pada peningkatan jangka panjang yang mampan.
Dalam masa sama, Cklamovski memberi bayangan bahawa kem latihan akan datang pada jendela FIFA bulan September ini bakal menjadi fasa penting dalam menyusun strategi dan mengekalkan momentum prestasi semasa.
“Sekarang kita tahu yang kita boleh menjadi bertambah baik dan kita perlu meneruskan kerja seperti ini. Itu yang akan kita lakukan pada September sebagai persiapan ke kem Oktober nanti,” jelas beliau.
Pasukan kebangsaan dijadual mengharungi dua aksi persahabatan bertemu Singapura dan Palestin pada jendela FIFA bulan hadapan sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
Perlawanan menentang Laos dan Nepal yang dijadual berlangsung pada Oktober dan November akan menjadi ujian sebenar terhadap persiapan dan strategi yang telah dirangka.
Dengan pendekatan yang berteraskan peningkatan berterusan, Cklamovski dilihat sedang membina satu asas yang kukuh bagi memastikan skuad Harimau Malaya mampu bersaing secara konsisten di pentas antarabangsa. Kejayaan tidak diukur hanya melalui ranking, tetapi melalui usaha berterusan dalam pembangunan skuad.
Mesej jelas daripada beliau adalah untuk tidak cepat berpuas hati dan terus bekerja keras demi mencapai tahap yang lebih tinggi. Ketekunan dalam latihan, konsistensi prestasi, dan disiplin dalam pendekatan taktikal merupakan aspek penting yang ditekankan oleh jurulatih itu.