MALAYSIA kini berhadapan risiko krisis dalam acara perseorangan badminton sekiranya kelemahan dalam sistem pembangunan pemain remaja tidak ditangani segera. Kebimbangan ini dilontarkan oleh bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wong Tat Meng, selepas menyaksikan sendiri prestasi hambar pemain muda negara di Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 di Solo, Indonesia.
Tat Meng yang menyaksikan kejohanan itu secara langsung menyifatkan kegagalan semua pemain perseorangan Malaysia – lelaki dan wanita – mara ke suku akhir sebagai petanda jelas bahawa sistem pembangunan semasa perlu dikaji semula secara menyeluruh.
“Saya berada di Solo menonton Kejohanan Remaja Asia dan saya harus katakan, ia sangat mengecewakan dan menyedihkan apabila tiada seorang pun pemain perseorangan kita, lelaki atau wanita, berjaya mara ke suku akhir,” tulis beliau dalam satu hantaran di Facebook.
Tat Meng yang pernah membimbing pemain bertaraf dunia sebelum ini melahirkan rasa kecewa terhadap prestasi kontinjen remaja negara yang hanya mampu melangkah ke suku akhir dalam acara berpasukan. Lebih menyedihkan, tiada pencapaian membanggakan dalam acara individu.
Walaupun tidak lagi menetap di tanah air, bekas jurulatih berusia 58 tahun itu tetap mengikuti perkembangan badminton Malaysia dengan penuh minat. Penglibatannya yang lama dalam sistem kejurulatihan kebangsaan menjadikan pandangannya relevan dan wajar diberi perhatian.
“Meskipun saya tidak lagi menetap di Malaysia, saya masih mengambil berat, lebih-lebih lagi kerana pernah menjadi sebahagian daripada sistem kejurulatihan kebangsaan. Ia benar-benar membuat saya tertanya-tanya, apa yang sedang berlaku dalam sistem pembangunan remaja kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini?” katanya.
Menurutnya, Malaysia tidak ketandusan bakat muda, tetapi terdapat kelemahan asas dalam proses pembangunan sehingga bakat-bakat ini gagal mencapai potensi terbaik di peringkat antarabangsa.
Tat Meng turut mencadangkan agar pihak berkaitan mengambil langkah serius untuk menyemak semula sistem sedia ada dan menetapkan halatuju jangka panjang yang lebih mantap.
“Sudah tiba masanya kita melakukan semakan menyeluruh dan tetapkan hala tuju jangka panjang yang jelas. Jika tidak, kita bakal berdepan krisis lebih besar dalam acara perseorangan pada masa akan datang,” katanya lagi.
Dengan pencapaian semasa yang membimbangkan, amaran Tat Meng ini seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak, khususnya pengurusan tertinggi badminton negara, agar tidak leka dalam memastikan pembangunan pemain muda terus relevan dan kompetitif.