Budak 16 tahun pecah rekod dunia 100m

Dunia olahraga dikejutkan dengan kemunculan bintang pecut remaja dari Jepun, Sorato Shimizu, yang berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila memecahkan rekod dunia acara 100 meter (m) untuk kategori bawah 18 tahun.

Atlet muda berusia 16 tahun itu mencatatkan masa luar biasa 10 saat tepat dalam satu perlumbaan yang berlangsung di Kejohanan Sekolah Menengah Antara Wilayah yang berlangsung di Hiroshima, kelmarin.

Catatan masa Shimizu bukan sahaja mencipta rekod dunia baharu dalam kalangan pelari bawah 18 tahun, malah turut mengatasi rekod terdahulu yang dikongsi bersama oleh dua pelari iaitu Christian Miller dari Amerika Syarikat dan Puripol Boonson dari Thailand. Kedua-dua atlet itu sebelum ini berkongsi rekod 10.06 saat sebagai catatan terbaik dunia dalam kategori usia tersebut.

Lebih menarik, prestasi pelari remaja dari Jepun itu juga berjaya mengatasi pencapaian pelari legenda dunia, Usain Bolt, ketika beliau masih dalam lingkungan usia 20 tahun. Bolt, yang sehingga kini memegang rekod dunia 100 meter senior, pernah mencatatkan masa peribadi terbaik 10.03 saat semasa berusia 20 tahun. Namun, ketika itu, fokus utama pelari dari Jamaica itu masih tertumpu kepada acara 200 meter.

Rekod yang dicatat oleh Shimizu meletakkannya sebagai antara lima pelari terpantas sepanjang zaman dalam kalangan atlet Jepun. Malah, dia kini merupakan pemegang rekod kebangsaan sekolah menengah negara matahari terbit tersebut, mengatasi catatan lama yang dipegang oleh Yoshihide Kiryu sejak 12 tahun lalu dengan masa 10.01 saat.

Selepas mencipta kejayaan luar biasa itu, Shimizu ketika ditemu bual menyatakan rasa syukur dan kegembiraan atas pencapaian tersebut.

“Saya bertekad untuk cuba berlari di bawah 10 saat apabila memasuki perlumbaan akhir. Saya sangat gembira kerana dapat mencipta rekod baharu untuk sekolah menengah Jepun,” katanya sambil menambah bahawa dia mahu terus mencabar kemampuan dirinya dalam saingan akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, catatan masa yang dicatatkan oleh Shimizu itu telah melayakkan dirinya untuk menyertai Kejohanan Dunia Olahraga yang dijadualkan berlangsung di Tokyo pada bulan September nanti.

Sekaligus, Shimizu kini muncul sebagai prospek baharu Jepun dalam acara pecut dan menjadi tumpuan peminat serta pemerhati sukan dari seluruh dunia. Banyak pihak mula melihat masa depan cerah yang menantinya dalam arena olahraga, bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah antarabangsa.

Dengan usia yang masih muda dan semangat tinggi yang ditonjolkan, pencapaian Shimizu diharap dapat menyuntik inspirasi kepada lebih ramai remaja lain di Jepun dan rantau Asia untuk menyertai sukan pecut secara lebih serius.