TERKINI : Info Siaran Langsung Aaron-Wooi Yik di Final Terbuka China

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terus menunjukkan taring mereka dalam kejohanan badminton berprestij apabila berjaya melangkah ke final Terbuka China 2025, salah satu kejohanan utama dalam kalender BWF Super 1000. Aksi separuh akhir semalam menyaksikan mereka membuktikan status sebagai pasangan beregu lelaki nombor dua dunia dengan persembahan bertenaga di Gimnasium Pusat Olimpik Changzhou.

Berentap menentang lawan sukar dari India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty, pasangan negara itu tidak memberi peluang kepada pihak lawan apabila meraih kemenangan dalam dua set terus dengan skor 21-13, 21-17. Pertemuan yang berlangsung selama 43 minit itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik kekal fokus dan konsisten dalam setiap gerakan, sekali gus menafikan harapan beregu India untuk melangkah ke pentas akhir.

Kemenangan itu menempatkan mereka ke perlawanan akhir yang bakal berlangsung hari ini, dengan cabaran getir menanti apabila mereka bakal berdepan beregu dari Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri. Pasangan dari negara jiran itu pastinya tidak mudah ditundukkan, apatah lagi mereka mempunyai rekod cemerlang dalam beberapa siri kejohanan sebelumnya.

Namun begitu, semangat juang tinggi serta keserasian permainan Aaron dan Wooi Yik memberi petanda bahawa mereka kini berada dalam prestasi terbaik untuk mencipta sejarah baru dalam kerjaya mereka. Dengan kejayaan mara ke pentas final ini, pasangan negara selangkah lagi untuk menjulang gelaran sulung dalam kejohanan kategori Super 1000 — satu pencapaian yang pastinya dinantikan oleh peminat badminton tanah air.

SIARAN LANGSUNG (LIVE STREAMING) Final TERBUKA CHINA

Tarikh: 27 Julai 2025
Saluran: CH 816 (Astro Badminton)
Venue: Pusat Gimnasium Sukan Olimpik Changzhou
Masa: Bermula jam 1 petang

Anda juga boleh strim menerusi Astro Go atau Sooka dan maklumat terkini di Stadium Astro!