Harapan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, untuk menjulang gelaran sulung dalam kejohanan berstatus Super 1000 BWF sekali lagi menemui jalan buntu apabila mereka tewas dalam aksi final Terbuka China. Dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Changzhou, pasangan pilihan kedua itu tunduk kepada gandingan bukan pilihan dari Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri.
Pasangan dari Indonesia yang merupakan gandingan ‘split’ jelas menghadirkan ancaman besar walaupun bukan beregu tetap. Mereka mempamerkan prestasi mantap dan taktikal kemas untuk menumpaskan Aaron-Wooi Yik dalam masa singkat 34 minit. Keputusan akhir memihak kepada Fajar-Shohibul dengan mata 21-15, 21-14.
Kekalahan ini merupakan satu lagi episod duka buat Aaron-Wooi Yik yang masih belum berjaya menamatkan penantian mereka untuk merangkul gelaran Super 1000 BWF. Sejak tahun 2022, mereka telah muncul dalam enam final siri kejohanan elit itu namun kesemuanya berakhir dengan kekecewaan.
Walaupun tewas, kemaraan mereka ke pentas final tetap dianggap satu pencapaian positif memandangkan prestasi tidak konsisten dalam kejohanan sebelum ini. Mereka tersingkir seawal pusingan pertama dalam dua kejohanan terdahulu di Terbuka Indonesia dan Jepun. Justeru, penampilan di final kali ini memberi harapan baharu.
Dalam set pertama perlawanan, Aaron-Wooi Yik bermula dengan langkah kurang meyakinkan apabila ketinggalan jauh 1-8 akibat tekanan daripada corak permainan pantas dan strategi ‘no lifting’ yang diguna pakai oleh Fajar-Shohibul. Walaupun mereka cuba bangkit dan merapatkan kedudukan kepada 13-16, rentak dominan pasangan Indonesia tidak dapat diatasi. Set itu tamat 21-15 hasil pukulan deras Alfian yang tepat ke arah badan Aaron.
Memasuki set kedua, rentak agresif diteruskan oleh Fajar-Shohibul yang mendahului awal dengan 7-2 sebelum melebarkan jurang kepada 15-7. Aaron-Wooi Yik bergelut untuk menyesuaikan diri dengan tempo pantas lawan dan terus ketinggalan 19-8. Mereka berjaya mengutip empat mata berturut-turut namun usaha itu tidak cukup untuk mengubah keputusan apabila hantaran Wooi Yik tersangkut di jaring, sekaligus mengesahkan kemenangan lawan 21-14.
Rekod menunjukkan kali terakhir pasangan bukan pilihan menjuarai Terbuka China adalah enam tahun lalu. Oleh itu, kejayaan Fajar-Shohibul dianggap bersejarah, lebih-lebih lagi mereka berjaya menewaskan pasangan pilihan kedua dunia.
Dengan kejayaan ini, pasangan dari Indonesia membawa pulang hadiah utama bernilai AS$148,000 (RM624,757). Manakala Aaron-Wooi Yik yang muncul sebagai naib juara menerima AS$70,000 (RM295,493).
Meskipun sekali lagi gagal meraih gelaran idaman, prestasi Aaron-Wooi Yik tetap perlu diberi pujian. Mereka membuktikan bahawa masih mampu bersaing di peringkat tertinggi dan terus menjadi sandaran utama skuad negara dalam kejohanan akan datang.