Harimau Malaya sudah separuh kaki ke Piala Asia

Kemenangan bergaya 4-0 skuad Harimau Malaya ke atas Vietnam bukan sekadar kemenangan biasa. Ia adalah detik kebangkitan yang menandakan permulaan era baharu dalam bola sepak negara, satu fasa yang lebih tersusun dan berpaksikan kepada perancangan jangka panjang yang direncana oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Skuad kebangsaan yang kini diterajui oleh jurulatih dari Australia, Peter Cklamovski, bukan sahaja menunjukkan peningkatan prestasi ketara, malah sudah meletakkan satu kaki di pentas Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung di Arab Saudi. Kemenangan ini bukan sahaja mencetuskan gelombang semangat di kalangan penyokong, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju Kumpulan F dalam saingan kelayakan.

Menurut Cklamovski, kejayaan ini bukan hadir secara tiba-tiba, sebaliknya adalah hasil daripada pelan strategik yang digerakkan oleh Tunku Ismail yang telah sekian lama bergiat dalam usaha memperkasakan bola sepak negara. Jelasnya lagi, walaupun perancangan jangka panjang sedang berjalan, pasukan tetap memiliki misi jangka pendek yang tidak kurang pentingnya.

“Orang ramai bercakap tentang revolusi Harimau Malaya, tetapi ini sebenarnya adalah pelan jangka panjang yang dibentuk Tunku Ismail. Namun begitu, kita juga ada pelan jangka pendek yang sangat jelas dan ingin dicapai,” kata Cklamovski.

Beliau menekankan bahawa mentaliti dalam pasukan telah berubah secara menyeluruh. Setiap pemain kini memiliki semangat juang yang tinggi, keinginan untuk mencipta kejayaan, dan komitmen untuk membentuk identiti pasukan yang tersendiri.

Antara sasaran jangka pendek yang dinyatakan oleh Cklamovski ialah untuk meraih enam mata dalam perlawanan yang akan datang pada bulan Oktober serta mengekalkan kedudukan teratas kumpulan. Beliau menegaskan bahawa kelayakan ke Piala Asia bukan semata-mata untuk mengambil bahagian, sebaliknya untuk membawa pulang sesuatu yang bermakna buat negara.

“Kami mahu gunakan peluang ini sebagai batu loncatan. Bukan sekadar berada di Piala Asia, tetapi tampil dengan sesuatu yang luar biasa buat Malaysia di pentas Asia,” tambah beliau.

Kejayaan menundukkan Vietnam dengan keputusan besar di Stadium Nasional Bukit Jalil jelas membuka lembaran baharu buat skuad negara. Berdasarkan data simulasi yang dikeluarkan oleh Footyrankings, peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Asia kini mencecah 79 peratus, satu angka yang sangat meyakinkan.

Pencapaian ini merupakan refleksi kepada kecekapan pelaksanaan pelan pembangunan, termasuk kebajikan pemain, sistem latihan moden dan pendekatan kejurulatihan yang lebih saintifik. Ia juga menjadi tanda bahawa Malaysia kini berada pada landasan yang tepat untuk menjadi kuasa bola sepak Asia Tenggara dan lebih jauh, Asia.

Dengan sokongan berterusan daripada Tunku Ismail serta pendekatan profesional oleh Cklamovski dan barisan kejurulatihannya, penyokong kini boleh meletakkan harapan yang lebih tinggi kepada Harimau Malaya.

Jika momentum ini berterusan, Malaysia bukan sahaja akan berada di Arab Saudi sebagai peserta Piala Asia 2027, tetapi turut berpotensi mencabar pasukan-pasukan elit benua itu. Sesungguhnya, ini adalah permulaan yang ditunggu-tunggu.