Apa sebenarnya terjadi kepada Aaron-Wooi Yik , Kempunan RM624,757

Hasrat beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, untuk menjulang gelaran sulung dalam kejohanan berstatus Super 1000 BWF sekali lagi tidak kesampaian apabila mereka kecundang di pentas akhir Terbuka China 2025. Bertempat di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Changzhou, pasangan negara itu terpaksa akur apabila tewas kepada gandingan Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri, dalam pertarungan selama 34 minit.

Aaron-Wooi Yik, yang hadir sebagai pilihan kedua kejohanan dan berada di ranking kedua dunia, tidak mampu menandingi corak permainan agresif pasangan lawan yang bukan gandingan tetap, namun jelas menampilkan ancaman besar. Keputusan akhir menyaksikan wakil Malaysia tumbang dengan keputusan 15-21, 14-21.

Aksi set pertama dimulakan dengan penuh tekanan buat Aaron dan Wooi Yik apabila mereka tertinggal sejauh 1-8. Rentak permainan pantas serta strategi ‘no lifting’ digunakan Fajar-Shohibul nyata mengekang kebangkitan pasangan Malaysia. Walaupun mereka cuba untuk mengurangkan jurang mata, kedudukan 20-14 memihak kepada lawan, sebelum set tersebut ditamatkan dengan pukulan kencang Alfian ke arah badan Aaron.

Memasuki set kedua, pasangan Indonesia meneruskan momentum cemerlang apabila mendahului 3-1, sebelum melebarkan jurang kepada 7-2 dan kemudian 15-7. Aaron-Wooi Yik bergelut dengan tempo permainan tinggi dan terus ketinggalan sehingga 19-8. Usaha mereka merapatkan kedudukan kepada 19-12 gagal membuahkan hasil apabila satu hantaran Wooi Yik tersangkut di jaring sekali gus memberi kemenangan kepada Fajar-Shohibul.

Kekalahan ini menjadikan penantian Aaron dan Wooi Yik untuk menamatkan kemarau kejuaraan Super 1000 sejak 2022 terus berpanjangan. Mereka kini mencatat enam kali penampilan di final kejohanan elit tanpa sebarang kejuaraan.

Namun begitu, kemaraan ke perlawanan akhir tetap memberi sinar positif buat gandingan negara yang sebelum ini tewas di pusingan pertama Terbuka Indonesia dan Jepun. Prestasi konsisten di kejohanan kali ini membuktikan bahawa mereka masih mempunyai potensi besar di peringkat tertinggi.

Sementara itu, Fajar-Shohibul mencipta sejarah apabila menjadi pasangan bukan pilihan pertama yang muncul juara di Terbuka China sejak enam tahun lalu. Kemenangan itu turut menghadiahkan mereka wang kemenangan bernilai AS$148,000 (kira-kira RM624,757). Sebagai naib juara, Aaron dan Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$70,000 (RM295,493).

Kejayaan Fajar dan Shohibul membuktikan bahawa gandingan baru juga mampu mencipta kejutan besar di pentas dunia. Dalam masa yang sama, Aaron-Wooi Yik diharap dapat memanfaatkan pengalaman ini untuk terus memperbaiki prestasi menjelang kejohanan akan datang.