Jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski, tampil mempertahankan pemain-pemain Malaysian Abroad yang sanggup berkorban demi negara, sambil menzahirkan rasa kecewa terhadap pihak yang terus mempertikaikan status pemain warisan walaupun sudah berulang kali dijelaskan.
Dalam kenyataan penuh emosi, Peter memuji kesungguhan luar biasa pemain naturalisasi dan warisan, yang dilihat benar-benar menunjukkan komitmen tinggi terhadap pasukan kebangsaan. Beliau mengangkat pengorbanan dua pemain utama sebagai bukti nyata bahawa pemain-pemain ini benar-benar ikhlas berjuang demi Jalur Gemilang.
“Machuca sanggup tinggalkan anaknya yang baru dua hari dilahirkan untuk menyertai kem negara. Holgado pula menempuh perjalanan beribu kilometer dan terpaksa segera pulang ke kelab selepas tamat perlawanan,” jelasnya.
Menurutnya, jika itu tidak mencerminkan kecintaan terhadap Malaysia, beliau tidak pasti apakah bukti yang lebih jelas perlu ditunjukkan lagi kepada rakyat.
“Saya tidak tahu apa lagi yang dimahukan. Lagipun, Indonesia sudah lama menggunakan pemain naturalisasi, dan Vietnam pun sedang ubah dasar mereka,” katanya dengan nada tegas.
Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran pemain-pemain ini dalam pasukan bukanlah perkara luar biasa dalam bola sepak moden. Malah, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memberi sokongan tanpa syarat kepada mereka.
“Pemain-pemain ini bermain untuk Malaysia, tidak kira dari mana asal mereka dan mereka perlukan sokongan rakyat Malaysia,” tegas jurulatih kelahiran Australia itu.
Namun begitu, Peter tidak menyembunyikan perasaan kecewanya terhadap isu yang berulang. Katanya, biarpun Harimau Malaya berjaya mencipta kemenangan penting ke atas Vietnam, masih ada segelintir yang terus mempersoalkan kesahihan pemain warisan dalam pasukan kebangsaan.
“Secara jujur saya penat dan sudah muak. Ia seolah-olah tiada kesudahan walaupun sudah berminggu-minggu sejak kami menewaskan Vietnam. Fokus kami kini adalah kepada perlawanan akan datang, tetapi isu sama masih berulang,” katanya.
Peter juga meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana sebarang usaha penjelasan dan pencapaian tidak dihargai.
“Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dibuat untuk membuktikan kesahihan pemain-pemain ini,” tambah beliau.
Malaysia dijadual meneruskan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada Oktober depan. Sebelum itu, skuad negara akan menguji kekuatan dalam aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin sempena kalendar FIFA pada bulan September.
Peter berharap agar perlawanan akan datang dapat dijadikan medan untuk pasukan membuktikan lagi kemampuan sebenar mereka, dan pada masa yang sama, menyatukan penyokong di sebalik satu misi — mara ke pentas Asia.
Dengan segala pengorbanan dan usaha yang telah dicurahkan oleh pemain dan barisan kejurulatihan, Peter menegaskan hanya satu perkara yang diperlukan — sokongan tanpa berbelah bahagi daripada seluruh rakyat Malaysia.