Bola sepak wanita kini memasuki era baharu apabila perkembangan pesat dapat dilihat dari segi kehadiran penonton dan jumlah tontonan yang mencatat rekod baharu. Populariti sukan ini semakin meningkat, sekali gus membuktikan daya tarikannya dalam kalangan peminat sukan global.
Namun, di sebalik sambutan luar biasa terhadap bola sepak wanita, isu jurang pendapatan antara pemain lelaki dan wanita masih menjadi perdebatan hangat. Walaupun pencapaian di atas padang semakin membanggakan, hakikatnya gaji pemain wanita, termasuk mereka yang berada pada tahap tertinggi, masih jauh ketinggalan berbanding rakan sejawatan lelaki mereka.
Menurut laporan daripada Insider dan GiveMeSport, pemain tengah Sepanyol, Aitana Bonmatí, kini merupakan pemain bola sepak wanita bergaji tertinggi di dunia dengan pendapatan sekitar £835,000 setahun, bersamaan lebih RM4.73 juta. Jumlah ini mungkin dianggap besar dalam konteks bola sepak wanita, namun masih sangat kecil jika dibandingkan dengan gaji pemain lelaki bertaraf bintang.
Sebagai contoh, Cristiano Ronaldo dilaporkan meraih kira-kira £213 juta (RM1.20 bilion) dalam tempoh 12 bulan terakhir, menurut Forbes. Ini menjadikan pendapatan beliau kira-kira 214 kali lebih tinggi daripada jumlah yang diterima oleh Aitana.
Walaupun perbezaan pendapatan begitu ketara, pencapaian Aitana Bonmatí di atas padang adalah luar biasa. Pemain berusia 26 tahun itu telah mendedikasikan seluruh karier profesionalnya bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona. Beliau merupakan produk akademi La Masia dan sejak musim 2018-19, Aitana telah menjadi tonggak utama pasukan utama Barcelona.
Setakat ini, Aitana telah membantu kelabnya merangkul lima kejuaraan Liga F, enam kali Copa de la Reina serta tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Wanita UEFA. Dalam musim 2022-23, beliau memainkan peranan penting dalam membantu Barcelona mencatat sejarah apabila berjaya meraih empat trofi utama dalam satu musim, atau dikenali sebagai quadruple. Dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara, beliau turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik.
Kejayaan individu Aitana tidak terhenti di situ. Beliau memenangi anugerah Ballon d’Or Féminin dua kali berturut-turut pada tahun 2023 dan 2024. Selain itu, beliau turut dianugerahkan sebagai Pemain Wanita Terbaik FIFA sebanyak dua kali.
Pada tahun 2024, nama Aitana sekali lagi mencipta sejarah apabila beliau menjadi pemain bola sepak pertama yang menerima Anugerah Sukan Dunia Laureus dalam kategori Ahli Sukan Wanita Terbaik, satu penghormatan tertinggi dalam dunia sukan antarabangsa.
Di pentas antarabangsa, Aitana terus mempamerkan prestasi luar biasa bersama skuad kebangsaan Sepanyol. Beliau memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan itu menjuarai Piala Dunia Wanita 2023, termasuk meraih anugerah Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan.
Prestasi cemerlangnya turut diteruskan dalam kejohanan Liga Negara-Negara Wanita UEFA 2024, di mana Aitana sekali lagi dinobatkan sebagai Pemain Perlawanan Akhir. Kini, beliau terus menonjol dalam kejohanan Euro 2025 apabila menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan semasa perlawanan separuh akhir menentang Jerman.
Jaringan penting itu memastikan Sepanyol mara ke perlawanan akhir Euro 2025 yang akan berlangsung pada awal pagi Isnin ini, menentang England, sekali gus menjadi pertembungan semula dua pasukan dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2023.
Meskipun Aitana membuktikan dirinya sebagai pemain bertaraf dunia, jurang ketara dalam pendapatan antara pemain lelaki dan wanita masih menjadi persoalan besar dalam dunia sukan moden. Ia menimbulkan desakan agar badan bola sepak antarabangsa dan penaja memberikan perhatian serius terhadap isu kesamarataan gaji.