Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan amaran keras susulan tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh segelintir penyokong Indonesia ketika perlawanan Piala AFF Bawah 23 Tahun (B-23) baru-baru ini. Peristiwa yang mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia itu berlaku di Stadium Gelora Bung Karno, apabila dilaporkan terdapat penyokong skuad Garuda Muda mengangkat bendera Malaysia secara terbalik.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, menyatakan bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri terhadap sebarang perlakuan yang mencemarkan kedaulatan dan maruah negara. Menurut beliau, pihak FAM sedang berhubung dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bagi mendapatkan pandangan lanjut mengenai insiden berkenaan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
“Ya, kami telah berhubung dengan pihak AFF dan AFC. Isu ini tidak dipandang ringan dan kami sama sekali tidak menyokong sebarang perbuatan yang biadab serta tidak menghormati negara lain,” ujar beliau ketika ditemui media dalam satu majlis pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 yang berlangsung hari ini.
Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Turut hadir, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, serta Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob.
Dalam laporan eksklusif oleh Arena Metro semalam, tindakan menaikkan Jalur Gemilang secara terbalik oleh penyokong Indonesia ketika perlawanan tersebut digambarkan sebagai satu penghinaan yang tidak dapat dimaafkan. Malah, mereka turut menggesa agar badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), mengambil tindakan tegas terhadap perkara tersebut.
Menurut pandangan peguam sukan, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak, insiden tersebut tidak wajar dipandang enteng. Beliau menegaskan bahawa FIFA boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) sekiranya terbukti penyokong tuan rumah terlibat dalam perbuatan menghina simbol negara lain.
Dalam pada itu, Joehari turut mengesahkan bahawa FAM kini sedang mempertimbangkan tindakan perundangan terhadap beberapa individu di luar negara yang secara berterusan menabur tohmahan terhadap skuad Harimau Malaya, khususnya mengenai pemain warisan. Menurutnya, FAM akan mendapatkan nasihat dan pandangan barisan peguam berhubung fitnah yang dilemparkan.
“Ya, kami akan rujuk kes ini kepada peguam untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, seorang pengulas dari Indonesia telah mengeluarkan dakwaan bahawa FAM mungkin akan dikenakan hukuman oleh FIFA kerana membawa masuk pemain yang tidak mempunyai pertalian darah dengan Malaysia ke dalam pasukan kebangsaan. Dakwaan itu disifatkan sebagai tidak berasas dan berniat jahat.