sukan

Won Ho-Seung Jae tidak kebal

Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek, menegaskan bahawa gandingan beregu lelaki Korea Selatan, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae, masih boleh ditewaskan oleh wakil Malaysia sekiranya pemain negara mampu memantapkan kekuatan fizikal dan kestabilan mental mereka.

Menurut beliau, kelebihan utama pasangan dari Korea Selatan itu adalah permainan yang stabil serta tahap kesilapan yang rendah, menjadikan mereka lawan yang sangat sukar bagi mana-mana pasukan termasuk beregu Malaysia.

“Mereka sedang berada di prestasi kemuncak. Bukan sahaja beregu kita yang menghadapi kesukaran, tetapi pasangan dari negara lain juga turut berdepan cabaran apabila bertemu mereka.

“Permainan mereka konsisten dan mereka tidak mudah panik. Untuk mengatasi mereka, pemain kita perlu mempunyai kecergasan tinggi, daya tahan untuk bermain rali panjang dan mengurangkan kesilapan sendiri,” jelas Razif.

Pasangan Korea tersebut baru-baru ini mencatat kejuaraan kelima apabila muncul juara Terbuka Jepun, setelah menundukkan beregu utama negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, dengan mata 16-21 dan 17-21.

Dalam perjalanan ke final, mereka juga berjaya menewaskan dua lagi pasangan Malaysia iaitu Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, sekaligus membuktikan kekuatan mereka di pentas antarabangsa.

Berdasarkan undian Terbuka China yang bermula hari ini, terdapat kemungkinan Sze Fei-Izzuddin serta pasangan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri akan sekali lagi bertemu dengan gandingan Korea tersebut.

Razif turut menyarankan supaya pasangan negara merombak strategi sedia ada dan memberi fokus kepada permainan bahagian hadapan serta tengah gelanggang, bukannya terlalu bergantung kepada serangan belakang.

“Kalau Fei-Din ingin menang, mereka perlu main lebih banyak di ‘front court’ dan bahagian tengah. Tidak boleh terlalu bergantung pada serangan dari belakang saja. Mental juga kena lebih kuat kerana pasangan Korea ini sangat tenang di gelanggang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, peluang untuk menewaskan Kim-Seo akan lebih tinggi jika perlawanan berjaya dibawa ke set penentuan. Ini kerana rekod menunjukkan pasangan Korea itu lebih kerap mengalami kekalahan apabila bermain sehingga set ketiga.