sukan

TERKINI : Azeem Fahmi unggul tewaskan Korea Selatan, Kanada

 Atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, berjaya menempatkan diri ke peringkat separuh akhir acara 100 meter lelaki dalam temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025, selepas mencatatkan masa 10.57 saat dalam perlumbaan saringan awal pagi tadi.

Azeem yang memulakan larian dalam saringan ketujuh yang menyaksikan tujuh pusingan keseluruhan, beraksi dalam keadaan cuaca kurang baik dengan hujan dan angin kencang. Namun, beliau kekal tenang dan berjaya mendahului barisan peserta lain termasuk pelari dari Korea Selatan, Joeljin Nwamadi (10.61s), serta Nikolaos Dowhos dari Kanada (10.72s).

Azeem kini merupakan satu-satunya wakil Malaysia dalam acara tersebut selepas seorang lagi pelari negara, Aliff Iman Mohd Fahmi, gagal menempatkan diri dalam kelompok terbaik apabila menamatkan saringan kelima di tempat kelima dengan masa 11.09 saat.

Dengan latar belakang sebagai pelajar Universiti Auburn di Amerika Syarikat, Azeem turut merupakan pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan masa 10.09 saat. Beliau dijadualkan kembali ke trek bagi menghadapi saingan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung awal pagi esok.

Saingan untuk ke final dijangka sengit apabila pelari pecut sensasi Thailand, Puripol Boonson, mencatatkan masa terpantas pada pusingan pertama dengan 10.23 saat. Sementara itu, dua atlet dari Afrika Selatan, Bayanda Joy Walaza (10.27s) dan Kyle Brian Zinn (10.33s), turut menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Pencapaian Azeem ini menjadi tumpuan peminat sukan tanah air yang berharap beliau mampu melangkah ke peringkat akhir dan seterusnya membawa pulang pingat buat Malaysia dalam kejohanan bertaraf dunia ini.