Pasangan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa mereka akan kembali menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Sebaliknya, mereka menegaskan pendirian untuk terus beraksi sebagai pemain profesional.
Pendirian tersebut dinyatakan sendiri oleh Goh Sze Fei hanya beberapa hari selepas mereka berjaya menamatkan saingan di tempat kedua pada Kejohanan Terbuka Jepun. Keputusan itu menyaksikan mereka terlepas gelaran beregu nombor satu dunia kepada pasangan dari Korea Selatan, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae.
Dalam satu kenyataan di laman media sosialnya, Sze Fei meluahkan rasa puas hati terhadap status mereka sebagai atlet profesional sambil menyatakan bahawa pencapaian mereka selama ini membuktikan peningkatan yang ketara.
Kami mahu tegaskan bahawa kami gembira sebagai pemain profesional. Kejayaan mara ke perlawanan akhir Terbuka Jepun baru-baru ini menambahkan semangat kami untuk terus cemerlang di bawah bimbingan jurulatih kami, Teo Kok Siang.
“Kami masih mengekalkan hubungan baik dengan BAM dan menghargai segala bentuk sokongan yang pernah kami terima ketika bernaung di bawah badan induk itu,” jelas Sze Fei.
Untuk rekod, pasangan ini meninggalkan BAM pada September tahun lalu. Menariknya, tidak sampai seminggu selepas bergelar profesional, mereka mengejutkan dunia badminton dengan menjuarai Terbuka Jepun.
Mereka kemudian meneruskan kecemerlangan dengan meraih tiga gelaran iaitu Terbuka China (Super 1000 BWF), Terbuka Artik, dan Terbuka India pada Januari yang lalu. Kejayaan itu melonjakkan mereka ke kedudukan nombor satu dunia buat kali pertama dalam kerjaya.
Namun, prestasi mereka sedikit menurun selepas itu apabila gagal meraih sebarang gelaran susulan. Kekalahan di tangan gandingan Korea dalam final Terbuka Jepun menyaksikan kedudukan nombor satu dunia kembali menjadi milik Korea.
Kini, fokus mereka tertumpu kepada usaha mempertahankan kejuaraan Terbuka China. Cabaran pertama mereka adalah menentang pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk dan Ki Dong Ju yang kini menduduki ranking ke-49 dunia.