sukan

Sah dan Rasmi, Hanya bertahan 8 bulan

Hasrat beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani untuk terus mempertahankan kedudukan selaku pasangan nombor satu dunia tidak kesampaian apabila mereka terpaksa akur dengan kekalahan di pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025, sekaligus menyaksikan mereka kehilangan takhta tersebut.

Berdasarkan kemas kini terkini yang diumumkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pasangan yang sebelum ini muncul juara Terbuka India itu telah merosot ke tangga ketiga dunia berada di belakang Aooron Chia-Wooi Yik. Penurunan tersebut berlaku selepas hanya lapan minggu mereka menguasai ranking nombor satu dunia sejak kejayaan mereka sekitar Mei lalu.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung semalam di Tokyo, pasangan negara gagal mengekalkan rentak cemerlang apabila tewas dalam straight set kepada gandingan Korea Selatan yang semakin meningkat, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae. Aksi selama 38 minit itu menyaksikan wakil negara tumpas dengan keputusan 16-21, 17-21, sekaligus gagal mengulangi kejayaan musim lalu di kejohanan sama.

Kekalahan tersebut memberi impak besar kepada kedudukan mereka di peringkat global, apatah lagi dengan konsistensi prestasi yang ditampilkan oleh pasangan Korea Selatan itu sejak awal musim ini. Kim dan Seo bukan sahaja memenangi perlawanan akhir di Jepun, malah telah mengungguli beberapa kejohanan besar musim ini termasuk Terbuka Malaysia, Terbuka Jerman, Seluruh England serta Terbuka Indonesia.

Perjalanan Kim-Seo untuk berada di kemuncak dunia bukanlah mudah. Mereka mula digandingkan sejak Januari lalu dan dalam tempoh tujuh bulan, mereka telah menunjukkan peningkatan luar biasa, menewaskan ramai lawan pilihan untuk mencipta kejayaan demi kejayaan. Konsistensi mereka kini terbukti apabila berjaya merampas ranking pertama dunia yang pernah disandang oleh Goh-Izzuddin.

Kemunculan semula Korea Selatan dalam arena badminton dunia sebagai kuasa besar kini semakin terserlah. Kali terakhir negara itu memegang status beregu lelaki nombor satu dunia adalah pada tahun 2016 menerusi pasangan legenda Lee Yong Dae dan Yoo Yeon Seong. Kini, selepas hampir satu dekad, Kim dan Seo kembali mengangkat nama Korea Selatan ke persada badminton dunia dengan penuh bergaya.