sukan

TERKINI : Keputusan aksi Pearly-Thinaah di Final Terbuka Jepun 2025

Harapan beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah untuk menamatkan kemarau kejuaraan Malaysia dalam acara beregu wanita di kejohanan Terbuka Jepun sekali lagi tidak menjadi kenyataan apabila mereka tewas mudah kepada gandingan Nombor satu dunia dariĀ  China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh debaran.

Pasangan negara itu sebelum ini mencuri tumpuan selepas berjaya menamatkan badi kekalahan ke atas beregu handalan Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida, sekali gus menghidupkan impian untuk mencipta sejarah sebagai wakil wanita Malaysia pertama menjuarai kejohanan berprestij tersebut. Namun, impian tersebut terkubur apabila mereka gagal mengekalkan momentum cemerlang itu dalam pentas final.

Pada set pertama, Pearly dan Thinaah dilihat bergelut untuk mengawal tempo permainan, khususnya apabila berdepan corak agresif serta pertukaran strategi pantas oleh lawan dari China yang merupakan beregu nombor satu dunia. Kesilapan mudah dan kegagalan menyesuaikan rentak menyebabkan mereka ketinggalan sejak awal permainan dan akhirnya tewas dengan mata 21-14 hanya dalam masa 20 minit.

Masuk ke set kedua, Pearly-Thinaah cuba bangkit dengan memperkemaskan corak permainan dan meningkatkan serangan dari segi jaringan di jaring serta kawalan gelanggang. Namun, usaha mereka jelas tidak mencukupi apabila pasangan Liu-Tan mengekalkan tekanan dengan serangan bertubi-tubi yang mengelirukan gandingan negara. Pertahanan yang goyah menyaksikan pasangan negara tewas , 21-14 dalam masa 25 minit, sekali gus menamatkan kempen mereka di kedudukan naib juara.

Kekalahan ini menandakan betapa jurang tahap permainan antara Pearly-Thinaah dan pasangan elit dunia seperti Liu Sheng Shu-Tan Ning masih perlu dirapatkan, terutama dari segi konsistensi dan ketahanan mental ketika beraksi di peringkat tertinggi. Namun begitu, pencapaian mereka mara ke pentas akhir tidak boleh dinafikan sebagai satu kemajuan yang positif.

Pearly-Thinaah dijangka kembali beraksi di Terbuka China bermula selasa ini.Dengan persembahan ini, pasangan negara dijangka akan kekal dalam radar utama skuad badminton negara menjelang kejohanan-kejohanan utama akan datang seperti Kejohanan Dunia dan Sukan Asia. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka akan mempergiat latihan khas untuk meningkatkan aspek strategi, kekuatan mental dan ketahanan fizikal gandingan ini.