Harapan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani untuk mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Badminton Terbuka Jepun berakhir hampa apabila mereka tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae dalam perlawanan akhir yang berlangsung sebentar tadi.
Bertempat di Gimnasium Metropolitan Tokyo, gandingan nombor satu dunia itu gagal mengekalkan momentum dan akur dengan kekalahan straight set 16-21, 17-21 dalam masa 38 minit. Aksi konsisten pasangan Korea Selatan nyata menjadi penghalang kepada impian Sze Fei-Izzuddin untuk menjulang trofi buat kali kedua.
Selepas tewas set pertama, gandingan Malaysia cuba bangkit dalam set kedua dengan mendahului seketika, namun prestasi cemerlang Kim-Seo membolehkan mereka merampas semula kedudukan dan mengesahkan kejuaraan dengan gaya meyakinkan.
Kekalahan tersebut lebih terasa apabila kedudukan ranking nombor satu dunia milik Sze Fei-Izzuddin dirampas oleh pasangan Korea itu. Berdasarkan keputusan terkini, Kim Won Ho-Seo Seung Jae akan dinobatkan sebagai pasangan nombor satu dunia dalam kemas kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dijadualkan Selasa ini.
Pasangan dari Korea itu kini sedang menikmati prestasi terbaik mereka, dan kejayaan hari ini merupakan gelaran kelima mereka musim ini selepas memenangi Terbuka Malaysia, Terbuka Jerman, Seluruh England, dan Terbuka Indonesia.
Kekalahan ini juga menjadikan Sze Fei-Izzuddin sebagai wakil ketiga Malaysia yang tumbang kepada Kim-Seo dalam kejohanan tersebut. Sebelum ini, pasangan Korea itu turut menyingkirkan Man Wei Chong-Tee Kai Wun di suku akhir dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di separuh akhir.
Impian untuk mencatat sejarah sebagai beregu lelaki pertama Malaysia yang menjuarai Terbuka Jepun sebanyak dua kali turut berkecai. Sebelum ini, hanya empat pasangan beregu lelaki Malaysia pernah menjulang kejuaraan itu iaitu Razif Sidek-Jalani Sidek (1986), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1998), Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002), dan Sze Fei-Izzuddin sendiri pada edisi tahun lalu.
Sebagai juara, Kim-Seo membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$70,300 (RM298,500) manakala Sze Fei-Izzuddin menerima AS$33,250 (RM141,182) sebagai naib juara.