Bekas pemain kebangsaan, Mahali Jasuli, tampil memberikan nasihat penuh bermakna kepada barisan pemain muda negara menjelang perlawanan getir menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A saingan Piala AFF B-23 yang akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, malam esok.
Mahali yang kini berusia 36 tahun, pernah merasai sendiri suasana mencabar di venue berprestij itu pada dua edisi penting iaitu pada tahun 2010 dan 2011. Dalam kedua-dua kejohanan tersebut, skuad kebangsaan terpaksa berdepan tekanan luar biasa daripada penyokong lawan yang memenuhi stadium dengan sorakan dan provokasi yang tidak henti-henti.
“Pekakkan telinga, dan fokus ke dalam perlawanan,” tegas Mahali apabila diminta mengulas persiapan mental yang perlu dimiliki oleh skuad B-23 negara dalam menghadapi cabaran besar di gelanggang keramat Indonesia itu.
Beliau mengakui bahawa insiden pada hampir 14 tahun lalu masih segar dalam ingatannya, termasuk bagaimana skuad Harimau Malaya terpaksa meninggalkan GBK dengan menaiki kereta perisai barracuda atas faktor keselamatan selepas perlawanan tegang melibatkan pelbagai bentuk provokasi dan lontaran objek oleh penyokong tuan rumah.
Katanya, senario sedemikian mungkin akan kembali berulang dalam aksi malam esok yang dijangka penuh emosi, namun beliau menasihatkan agar pemain negara sentiasa berpegang pada prinsip untuk kekal tenang dan tidak mudah terpengaruh dengan suasana luar padang.
“Untuk skuad Malaysia B-23, saya sebagai bekas pemain yakin yang mereka masih lagi mempunyai kualiti yang baik untuk menandingi skuad Indonesia. Sebab ialah kita pun tahu, main dekat sana tak mudah,” katanya ketika ditemui di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pada kejohanan Liga 7×7 Zurich All-Stars malam tadi.
Tambah beliau, tiada yang mustahil dalam bola sepak selagi pemain dapat mengawal tekanan serta memainkan peranan masing-masing dengan baik di atas padang.
“Tapi tidak ada yang mustahil di mana jika pemain dapat mengawal tempoh dan mengurangkan tekanan, saya percaya pemain-pemain yang diberi tanggungjawab boleh menghasilkan sesuatu yang positif untuk skuad negara.
“Untuk saya, tak perlu berasa takut sebab, sebagai saya sendiri pernah alami suasana yang lebih…lebih…lebih mencabar,” jelas Mahali.
Beliau turut mengenang kejayaan manis menewaskan Indonesia di GBK pada tahun 2010 ketika membantu skuad Harimau Malaya merangkul kejuaraan Piala AFF buat kali pertama dalam sejarah negara. Malaysia menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2 pada final tersebut.
Setahun kemudian, Mahali sekali lagi menjadi antara watak utama ketika pasukan B-23 negara menumpaskan Indonesia dalam final Sukan SEA 2011 yang turut berlangsung di GBK dan membawa pulang pingat emas ke tanah air. Seperti tahun sebelumnya, pasukan Malaysia juga terpaksa meninggalkan venue tersebut menaiki barracuda demi menjamin keselamatan.
Mengulas mengenai pengalaman itu, Mahali berkata kekuatan mental pemain menjadi faktor utama dalam menghadapi cabaran ekstrem ketika beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong lawan.
“Alhamdulillah, dapat menewaskan Indonesia di GBK, dan saya pun percaya mental pemain pun berada dalam keadaan yang bagus,” ujarnya yakin.
Mahali turut menitipkan nasihat kepada pemain muda agar terus percaya kepada kebolehan sendiri, selain tidak tunduk kepada tekanan luar padang.
“Waktu itu saya ingat lagi, kenangan di mana kita tahu Indonesia pasukan yang bagus. Tapi dari segi saya dengan pemain, kita orang yakin dengan kebolehan pemain-pemain kita sendiri.
“Walaupun kita tahu, bukan mudah nak bermain di GBK, tapi pemain tahu tanggungjawab masing-masing. Memang final itu, semua bekerja keras dan satulah, mereka betul-betul main. Kita semua betul-betul main demi nama negara,” katanya penuh semangat.
Skuad B-23 negara kini berada dalam kedudukan genting selepas tewas dalam perlawanan pembukaan kumpulan. Aksi menentang Indonesia malam esok bakal menjadi penentu kelayakan ke peringkat seterusnya dan perhatian kini tertumpu kepada sejauh mana pasukan muda negara mampu mengulangi kejayaan generasi terdahulu yang diterajui Mahali Jasuli.