Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Indonesia, Gerald Vanenburg, tetap menghormati keupayaan Malaysia B-23 menjelang pertemuan penting aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN B-23 2025 yang akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno pada Isnin ini.
Walaupun skuad Harimau Malaya Muda kendalian Nafuzi Zain sebelum ini tewas mengejut 0-2 kepada Filipina, Vanenburg menyifatkan lawannya itu memiliki pemain yang berkualiti tinggi dan tidak boleh dipandang ringan.
“Saya tidak meremehkan kekuatan Malaysia. Mereka mempunyai pemain yang bagus dan potensi yang besar. Prestasi lalu tidak semestinya mencerminkan kekuatan sebenar mereka,” katanya kepada media semasa sesi latihan skuad Garuda Muda.
Bagaimanapun, pengendali dari Belanda itu menegaskan bahawa fokus utama beliau adalah kepada prestasi anak buahnya sendiri, dan bukan semata-mata terhadap kekuatan pasukan lawan.
“Saya akui Malaysia adalah pasukan yang bagus dan mempunyai ramai pemain berbakat. Namun bagi saya, perkara paling penting ialah bagaimana pasukan kami beraksi. Saya mahu pemain-pemain Indonesia percaya pada diri sendiri kerana kami juga mampu mencipta kejayaan,” jelasnya.
Dalam perlawanan terdahulu, skuad Garuda Muda meneruskan rentak kemenangan mereka selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Filipina, hasil jaringan sendiri pemain lawan, Jaime Rosquillo pada minit ke-23.
Kemenangan itu meletakkan Indonesia di kedudukan teratas kumpulan dengan enam mata maksimum hasil dua kemenangan berturut-turut. Filipina pula berada di tempat kedua dengan tiga mata, mendahului Malaysia yang turut mengutip tiga mata tetapi ketinggalan berdasarkan rekod pertemuan.
Malaysia sebelum ini kembali ke landasan kemenangan apabila membelasah Brunei Darussalam 7-1 selepas kekalahan mengejut kepada Filipina pada aksi pembukaan.
Brunei pula, yang dibimbing Aminuddin Jumat, terus menghuni tangga tercorot kumpulan selepas mengalami dua kekalahan besar dan dibolosi sebanyak 15 kali setakat ini.
Meskipun mengungguli kumpulan ketika ini, Indonesia masih belum mengesahkan tempat ke separuh akhir. Untuk layak secara automatik, mereka perlu sekurang-kurangnya seri menentang Malaysia.
Namun, sekiranya mereka tewas dalam aksi penting itu, nasib mereka akan bergantung sepenuhnya kepada keputusan antara Filipina dan Brunei. Jika Filipina menang, tiga pasukan akan terikat dengan enam mata dan rekod pertemuan akan menjadi penentu dua tempat teratas ke separuh akhir.