Pasangan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani kini berada hanya satu langkah daripada mencipta sejarah gemilang buat Malaysia apabila berjaya menempah tiket ke final Terbuka Jepun 2025. Mereka kini berpeluang menjadi beregu lelaki pertama dari Malaysia yang menjuarai kejohanan tersebut sebanyak dua kali.
Dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo semalam, Sze Fei-Izzuddin tampil dominan dengan menundukkan pasangan dari Taiwan, Liu Kuang Heng dan Yang Po Han. Kemenangan straight set 21-19, 21-11 yang diraih dalam tempoh hanya 35 minit itu turut mengekalkan rekod tanpa kalah mereka ke atas pasangan tersebut, selepas menewaskan mereka dalam laluan kejuaraan tahun lalu.
Sekiranya berjaya menjulang kejuaraan hari ini, gandingan ini akan mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang oleh beregu lagenda negara seperti Razif-Jalani Sidek (juara 1986), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1998), serta Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002), yang masing-masing hanya pernah memenangi kejohanan ini sekali.
Lebih manis, jika kejayaan itu direalisasikan, ia akan menjadi gelaran kedua mereka musim ini, setelah sebelumnya menjuarai Terbuka India pada Januari lalu. Ini membuktikan konsistensi serta kematangan permainan mereka sepanjang tahun ini.
Namun, laluan kejuaraan bukanlah mudah. Mereka bakal berdepan cabaran besar daripada pasangan sensasi Korea Selatan, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae, yang kini menduduki ranking ketiga dunia. Aksi ini dijangka sengit memandangkan kedua-dua pasangan pernah saling mengalahkan, dengan rekod pertemuan kini terikat 1-1.
Pertemuan terakhir menyaksikan kelebihan berpihak kepada pasangan Korea itu di pusingan kedua All England pada bulan Mac, namun Sze Fei-Izzuddin pernah menundukkan mereka ketika perlawanan akhir Terbuka India.
Kim Won Ho-Seo Seung Jae menempah slot ke final selepas menundukkan satu lagi beregu profesional negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi dengan keputusan 21-14, 21-15 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung lebih awal.
Kini, seluruh tumpuan rakyat Malaysia terarah kepada aksi penentu hari ini, di mana sejarah mungkin dicipta sekali lagi oleh Sze Fei dan Izzuddin dalam pentas antarabangsa.