Penyerang skuad Bawah 23 (B-23) negara, Haqimi Azim Rosli, menyifatkan kemenangan besar ke atas Brunei sebagai pembakar semangat buat dirinya dan rakan sepasukan menjelang pertembungan penting menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF B-23 2025.
Kejayaan Malaysia menundukkan Brunei dengan jaringan 7-1 bukan sahaja menyemarakkan semula harapan untuk mara ke separuh akhir, malah turut menyuntik moral seluruh pasukan selepas kekalahan mengejut kepada Filipina pada aksi pembukaan kumpulan.
Haqimi yang berjaya meledak dua gol dalam perlawanan tersebut berkata, keputusan itu menjadi motivasi terbaik untuk mereka tampil lebih garang ketika bertemu skuad Garuda Muda Isnin ini di Stadium Gelora Bung Karno.
“Kemenangan hari ini (semalam) menjadi suntikan moral untuk kami menghadapi Indonesia. Kami akan buat yang terbaik dan berikan 100 peratus,” ujar pemain muda Kuala Lumpur City FC itu ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Pemain berusia 21 tahun itu juga menegaskan bahawa hanya kemenangan ke atas Indonesia akan mengembalikan keyakinan penyokong terhadap skuad muda negara selepas dikritik hebat ekoran kekalahan 0-2 kepada Filipina dalam perlawanan pertama tempoh hari.
“Memang ramai yang mengkritik selepas aksi pertama, tapi kami tidak patah semangat. Kami terus fokus kepada perlawanan seterusnya dan akan ikut segala arahan jurulatih,” tambah Haqimi dengan yakin.
Malaysia kini berada di tangga ketiga Kumpulan A di belakang Indonesia dan Filipina. Mengikut format kejohanan, hanya juara setiap kumpulan dan satu pasukan naib juara terbaik akan layak ke separuh akhir, sekali gus menjadikan pertemuan menentang Indonesia sebagai misi hidup mati buat skuad negara.
Ketua jurulatih, Nafuzi Zain, dijangka akan merangka strategi terbaik bagi memastikan anak-anak buahnya mampu memberi tentangan hebat kepada Indonesia yang kini dilihat sebagai pilihan utama kumpulan.
Haqimi turut menjelaskan bahawa segala persediaan yang dilakukan menjelang aksi penting itu adalah hasil kerjasama erat antara pemain dan barisan kejurulatihan.
“Kami sudah sedia sepenuhnya. Kami akan berjuang habis-habisan demi maruah negara dan untuk layak ke separuh akhir,” katanya lagi.
Dengan prestasi memberangsangkan yang dipamerkan ketika menentang Brunei, Harimau Muda tampak sudah kembali ke landasan sebenar. Tekanan kini memuncak, namun pemain-pemain muda negara dilihat lebih bersedia dan bermotivasi untuk menghadapi cabaran getir di Gelora Bung Karno.