Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara berdepan misi hampir mustahil apabila mereka bukan sahaja diwajibkan menang dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF B-23, tetapi turut perlu menjaringkan tiga gol tanpa bolos menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, Isnin ini.
Menurut analisis di atas kertas, peluang Malaysia ke separuh akhir dilihat sangat tipis memandangkan Indonesia hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan kemaraan. Keadaan ini menambahkan lagi tekanan kepada anak buah Nafuzi Zain.
Lebih merumitkan, Kumpulan A mempunyai empat pasukan, berbeza dengan dua kumpulan lain yang hanya mempunyai tiga pasukan. Oleh itu, keputusan menentang pasukan keempat tidak diambil kira dalam pengiraan.
Dalam format pertandingan kali ini, sekiranya dua pasukan mengutip mata yang sama, kedudukan akan ditentukan menerusi rekod pertemuan ‘head to head’.
Namun, secara matematik, Malaysia masih mempunyai peluang untuk layak. Kemenangan 3-0 ke atas Indonesia akan memastikan skuad negara muncul juara kumpulan dan mara ke separuh akhir.
Jika menang 2-0, Malaysia hanya mampu menduduki tangga kedua kumpulan dan peluang untuk mara bergantung kepada perbandingan prestasi dengan dua lagi naib juara dari Kumpulan B dan C.
Manakala kemenangan 1-0 sahaja akan memihak kepada Filipina sebagai juara kumpulan kerana mereka menewaskan Malaysia 2-0 sebelum ini, manakala Indonesia pula akan menjadi naib juara.
Senario ini jelas mencabar mental dan fizikal pemain negara yang bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong fanatik Indonesia di GBK.
Jurulatih negara, Nafuzi Zain kini berdepan tugas berat untuk memastikan bahagian serangan berada pada tahap terbaik dan mampu menghasilkan jaringan secukupnya.
Setiap peluang keemasan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pemain kerana sebarang kesilapan boleh menjadi penentu nasib skuad negara dalam kejohanan ini.