Harapan Indonesia untuk melakar sejarah mara ke Piala Dunia 2026 kembali menyala selepas diundi dalam Kumpulan B bagi pusingan keempat kelayakan bersama Arab Saudi dan Iraq.
Undian ini dilihat memberikan peluang cerah kepada skuad kendalian Patrick Kluivert untuk bersaing hebat dan menamatkan kempen dengan keputusan positif, sekali gus melayakkan diri ke kejohanan yang akan berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026.
Dalam aksi terdahulu, Indonesia pernah menyaingi Arab Saudi secara kompetitif apabila mencatat keputusan seri 1-1 di Riyadh pada 6 September 2023, sebelum mencipta kemenangan bergaya 2-0 dalam perlawanan timbal balik di Jakarta pada 19 November tahun yang sama.
Sebaliknya, aksi menentang Iraq dijangka menjadi pertembungan penentu buat Sang Garuda, memandangkan Indonesia tewas dalam tiga perlawanan terakhir menentang pasukan dari Asia Barat itu. Kini, mereka perlu bangkit dan membuktikan kemampuan sebenar pada Oktober nanti.
Mengikut format kelayakan, hanya juara kumpulan yang akan layak secara automatik ke kejohanan utama. Naib juara pula akan bertanding sesama sendiri dalam pusingan kelima pada November, untuk merebut slot ke playoff antara benua.
Namun begitu, Berita buruk melanda Indonesia apabila kehilangan penyerang warisan, Ole Romeny, yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan. Pemain kelab Oxford United itu mengalami kecederaan serius di bahagian pergelangan kaki selepas insiden kekasaran ketika menyertai kejohanan Piala Presiden Indonesia.
Ketiadaan Romeny dilihat satu kehilangan besar buat pasukan, lebih-lebih lagi selepas penyerang tersebut menunjukkan prestasi cemerlang dengan menjaringkan tiga gol dalam empat penampilan sejak menyertai skuad kebangsaan sebagai pemain warisan.
Walaupun baru menyertai barisan Sang Garuda, reputasi Romeny sudah cukup untuk menjadikannya sandaran utama serangan Indonesia. Justeru, kehilangan beliau menjelang pusingan keempat kelayakan dijangka memberi kesan besar kepada taktikal Kluivert.
Dengan misi besar memburu sejarah, skuad Indonesia kini perlu mencari jalan penyelesaian segera untuk mengisi kekosongan tersebut dan mengekalkan momentum positif mereka dalam saingan kelayakan.