sukan

Tiada wakil BAM di separuh akhir , Herry beri sepatah dua kata

Hasrat untuk melihat sekurang-kurangnya satu wakil beregu lelaki negara  di bawah BAM mara ke separuh akhir Terbuka Jepun 2025 tidak kesampaian selepas kesemua pasangan di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tersingkir awal.

Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi meluahkan rasa kecewa apabila tiada satu pun gandingan di bawah kendaliannya berjaya melepasi halangan suku akhir kejohanan Super 750 tersebut.

Wakil terakhir, Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal meneruskan cabaran selepas tewas kepada pasangan nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam pertarungan tiga set yang sengit. Aksi yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu berakhir dengan kekalahan 13-21, 21-18, 13-21.

Kekalahan itu sekaligus menamatkan cabaran semua wakil beregu lelaki BAM dalam kejohanan tersebut, selepas dua pasangan lain, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, terlebih dahulu tewas di pusingan pertama.

Pasangan beregu utama negara, Aaron-Wooi Yik tumpas kepada gandingan profesional tanah air, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin. Manakala pasangan muda Wan Arif-Roy King pula terpaksa akur kepada kehebatan rakan sepelatihan sendiri, Wei Chong-Kai Wun.

Mengulas lanjut mengenai prestasi anak buahnya, Herry menjelaskan bahawa faktor kematangan permainan menjadi punca kekalahan Wei Chong-Kai Wun di tangan pasangan Korea Selatan.

“Kalau dilihat semula, permainan mereka masih belum cukup matang untuk mengatasi rentak tenang dan tersusun yang dipamerkan oleh pihak lawan. Pasangan Korea bermain penuh strategi dan berjaya mengawal tempo perlawanan,” katanya.

Menurut Herry lagi, banyak kesilapan mudah dilakukan oleh Wei Chong-Kai Wun terutama dalam set pertama dan ketiga, sekaligus membuka ruang kepada lawan untuk memenangi perlawanan tersebut.

Namun begitu, beliau tetap optimis dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh gandingan itu, terutama dengan prestasi memberangsangkan mereka sejak kebelakangan ini.

“Permainan mereka semakin baik, tetapi konsistensi masih belum cukup. Mereka perlukan masa untuk mencapai tahap kematangan sepenuhnya,” ujarnya.

Sejak menyertai BAM pada Februari lalu, Herry, yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Jurulatih Naga Api’, telah membimbing skuad beregu lelaki ke beberapa pencapaian membanggakan, termasuk empat kejuaraan dalam tempoh kurang enam bulan.

Aaron-Wooi Yik menyumbang tiga kejuaraan utama iaitu Kejohanan Badminton Asia (BAC), Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura, manakala Wei Chong-Kai Wun turut muncul juara di Masters Malaysia serta mara ke final Terbuka Indonesia.

Bagaimanapun, Herry melihat kegagalan di Terbuka Jepun sebagai satu pengajaran berguna buat anak didiknya untuk memperbaiki kelemahan.

“Dalam kejohanan, memang ada menang dan kalah. Yang penting, kita analisis semula, tengok rakaman dan baiki kekurangan. Minggu depan kita ada Terbuka China, jadi saya harap mereka akan tampil lebih bersedia,” katanya.

Dengan harapan baru di Terbuka China, barisan beregu lelaki negara perlu bangkit dari kekecewaan ini untuk membuktikan keupayaan mereka di pentas antarabangsa.