Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi, mencetuskan kejutan besar dalam kejohanan Terbuka Jepun 2025 apabila menundukkan pasangan utama China yang kini berada di ranking kelima dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang, dalam aksi suku akhir yang berlangsung sengit di Gimnasium Metropolitan, Tokyo.
Kemenangan ini menyaksikan mereka menjadi wakil ketiga Malaysia mara ke separuh akhir kejohanan selepas kejayaan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Pearly Tan-M Thinaah yang terlebih dahulu menempah slot ke pusingan sama.
Dalam perlawanan yang berlangsung sebentar tadi, Ong-Teo yang turun tanpa sebarang status pilihan nyata tidak gentar berdepan nama besar dari China itu. Mereka tampil dengan persembahan bertenaga dan menyakinkan sejak awal permainan lagi, memperlihatkan komitmen serta disiplin yang tinggi dalam setiap mata yang diperjuangkan.
Set pertama menyaksikan persaingan amat sengit dengan kedua-dua beregu saling berbalas mata. Aksi kejar-mengejar berlangsung sehingga ke penghujung set, namun kecekalan Ong-Teo membuahkan hasil apabila mereka mengesahkan kemenangan 25-23 dalam set pembukaan itu.
Tidak banyak berbeza di set kedua, Liang-Wang cuba bangkit namun ketenangan dan pengalaman Ong-Teo terus mendominasi permainan. Mereka terus mengekalkan momentum dan berjaya menamatkan aksi dengan keputusan 21-19, sekali gus menoktahkan kemenangan straight set yang cukup bermakna buat beregu Malaysia ini.
Kejayaan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi ini memberikan sinar harapan baharu kepada skuad negara dalam usaha meraih kejuaraan di peringkat tertinggi. Keupayaan mereka menewaskan pasangan bertaraf dunia ini tanpa tewas satu set sekalipun memberi petanda bahawa mereka berada dalam prestasi terbaik ketika ini.
Aksi separuh akhir yang bakal mereka hadapi nanti dijangka turut mencabar, namun dengan semangat dan permainan konsisten yang ditampilkan, harapan untuk mara ke final bukanlah sesuatu yang mustahil.
Sekali lagi, kejayaan ini membuktikan bahawa pemain Malaysia mampu bersaing dengan beregu ternama dunia jika mereka diberikan kepercayaan serta peluang yang seimbang.