Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi, meneruskan kemaraan cemerlang mereka dalam Kejohanan Badminton Terbuka Jepun apabila berjaya menewaskan pasangan dari Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi dan Presley Smith, dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Tokyo Metropolitan Gymnasium sebentar tadi. Kemenangan ini sekaligus membawa mereka ke peringkat suku akhir kejohanan.
Kejayaan ini hadir sehari selepas kejutan besar yang dicipta oleh gandingan negara itu apabila mereka menumbangkan juara Asia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, dalam pusingan pertama. Kemenangan tersebut memberi suntikan semangat kepada Yew Sin dan Ee Yi untuk meneruskan cabaran mereka dalam kejohanan berprestij ini.
Namun, perlawanan menentang pasangan dari Amerika Syarikat tidaklah semudah yang dijangka. Dalam set pertama, Ong dan Teo dilihat menguasai corak permainan sejak awal lagi, mempamerkan persefahaman serta taktikal yang kemas. Tetapi menjelang penghujung set tersebut, gandingan lawan berjaya mengejar mata dan menyamakan kedudukan pada 16-16. Kealpaan kecil pasangan negara menyebabkan mereka keciciran set pertama dengan keputusan 19-21.
Tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama, pasangan profesional negara bangkit semula dalam set kedua. Mereka tampil lebih garang, mendominasi gelanggang dan tidak memberi ruang langsung kepada pasangan Chen-Presley untuk bangkit. Set kedua menyaksikan kemenangan meyakinkan buat Yew Sin dan Ee Yi dengan mata 21-14.
Set penentuan berlangsung dengan lebih mendebarkan apabila kedua-dua pasangan saling berbalas mata. Namun, pengalaman dan ketenangan yang ditampilkan oleh pasangan Malaysia membuahkan hasil apabila mereka berjaya menoktahkan perlawanan dengan kemenangan tipis 21-19, sekali gus menamatkan aksi selama 55 minit itu dengan penuh bergaya.
Dengan kemenangan ini, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi akan berdepan satu lagi cabaran besar di suku akhir apabila dijadualkan bertemu beregu pilihan kelima kejohanan dari China, iaitu Liang Wei Keng dan Wang Chang. Pertembungan ini dijangka berlangsung sengit memandangkan kedua-dua beregu berada pada prestasi terbaik mereka ketika ini.
Peminat badminton tanah air pastinya menantikan perlawanan tersebut dengan penuh harapan agar pasangan negara dapat meneruskan kecemerlangan dan melangkah ke separuh akhir kejohanan.