Pasukan kebangsaan Indonesia kini berdepan cabaran getir dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 apabila diundi bersama dua pasukan kuat Asia Barat — Arab Saudi dan Iraq — dalam Kumpulan B pusingan keempat kelayakan Asia. Undian rasmi yang diadakan di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini menyaksikan enam pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan, di mana Indonesia perlu mempamerkan aksi terbaik untuk menempah tiket ke kejohanan terbesar dunia itu.
Kumpulan A pula menyaksikan tuan rumah Qatar mengetuai cabaran, ditemani Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman. Format pertandingan bagi kedua-dua kumpulan adalah secara liga satu pusingan (round-robin) yang akan berlangsung pada Oktober ini. Kumpulan B akan bermain di Arab Saudi manakala Kumpulan A akan beraksi di Qatar. Ini memberi kelebihan besar kepada kedua-dua negara tuan rumah dari segi sokongan penyokong dan keadaan padang.
Juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada. Sementara itu, pasukan yang berada di kedudukan kedua akan berentap dalam perlawanan timbal balik pada November. Pemenang dari pertemuan itu akan mara ke playoff antara benua untuk memburu satu slot terakhir ke Piala Dunia edisi 2026, yang bakal menghimpunkan 48 pasukan dari seluruh dunia.
Indonesia, di bawah bimbingan legenda bola sepak Belanda dan bekas penyerang Barcelona, Patrick Kluivert, giat mempersiapkan skuad bagi menghadapi cabaran getir ini. Sejak dilantik, Kluivert menerima sokongan kuat daripada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), termasuk dengan pelantikan Jordi Cruyff sebagai penasihat teknikal. Cruyff, anak kepada lagenda Johan Cruyff, dilantik pada Februari lalu bagi memperkukuh aspek taktikal skuad Garuda.
Langkah PSSI membawa masuk kepakaran dari Belanda termasuk pemain naturalisasi dilihat sebagai strategi jangka panjang untuk membina skuad lebih mantap dan kompetitif di peringkat antarabangsa. Keputusan itu sejajar dengan matlamat Indonesia untuk kembali mewarnai pentas Piala Dunia setelah sekian lama menyepi. Kali terakhir skuad Garuda beraksi di Piala Dunia adalah pada tahun 1938, ketika masih berada di bawah penjajahan Belanda. Dalam penampilan sulung itu, Indonesia tewas 0-6 kepada Hungary dalam satu-satunya perlawanan yang mereka mainkan.
Kini, laluan untuk menamatkan kemarau panjang ke Piala Dunia tidaklah mudah. Arab Saudi yang merupakan pasukan tuan rumah bagi perlawanan Kumpulan B dijangka menjadi pencabar utama. Pasukan dari Asia Barat itu memiliki kelebihan bermain di laman sendiri serta barisan pemain berpengalaman yang pernah beraksi di pentas Piala Dunia sebelum ini. Manakala Iraq, walaupun kurang menonjol mutakhir ini, tetap berbahaya memandangkan mereka pernah layak ke Piala Dunia 1986.
Sementara itu, enam pasukan dari Asia yang sudah mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 setakat ini ialah Australia, Jepun, Korea Selatan, Iran, Jordan dan Uzbekistan. Situasi ini menjadikan persaingan di pusingan keempat semakin sengit memandangkan hanya dua tempat automatik dan satu slot playoff sahaja yang masih dipertaruhkan.
Dengan cabaran besar yang menanti, penyokong bola sepak Indonesia kini menaruh harapan tinggi kepada barisan pemain dan barisan kejurulatihan. PSSI juga menekankan pentingnya kerjasama semua pihak dalam memastikan persiapan berjalan lancar. Mampukah Kluivert dan anak buahnya mengulangi sejarah 1938 atau mencipta sejarah baharu dalam bola sepak Indonesia? Oktober ini bakal menjadi penentu nasib skuad Garuda.