Penyerang muda sensasi Indonesia, Ramadhan Sananta, mengakui bahawa keputusannya menyertai kelab DPMM FC dari Brunei Darussalam untuk musim ini didorong oleh kehadiran ramai pemain bertaraf bintang dalam Liga Malaysia (Liga-M).
Pemain berusia 23 tahun itu tampil buat kali pertama dalam saingan Liga-M dan menyatakan keterujaannya untuk bersaing dengan pasukan-pasukan besar bermula Ogos ini.
Menurut Ramadhan, beliau menyedari betapa kompetitifnya Liga-M yang menampilkan kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan beberapa lagi pasukan elit tempatan yang memiliki barisan pemain berkelas tinggi.
“Dorongan saya ke sini kerana saya tahu saingan dalam Liga Malaysia sangat mencabar. Setiap kelab mempunyai kualiti tersendiri, corak permainan yang tersusun dan pemain-pemain yang berteknik tinggi,” katanya.
Ramadhan turut menyatakan bahawa antara nama yang mencuri perhatian beliau ialah Arif Aiman Mohd Hanapi serta Moussa Sidibe, bekas rakan sepasukannya di Persis Solo yang kini menyarung jersi JDT.
Tambah beliau, pada usia muda, beliau perlu berani mengambil risiko dengan mencuba pengalaman baharu di luar negara bagi menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran.
“Tambahan pula, usia saya masih muda, jadi saya perlu ada keyakinan untuk keluar dari zon selesa dan mencuba cabaran baharu di luar negara,” jelasnya.
Ramadhan menegaskan beliau bukan hadir ke Liga-M sekadar untuk mencuba nasib, sebaliknya mahu memberi sumbangan sebenar kepada DPMM FC.
“Saya mahu bantu kelab ini sebaik mungkin dan tidak sabar untuk beraksi menentang bekas gandingan saya, Moussa. Saya juga mahu melihat sendiri kemampuan pemain seperti Arif Aiman yang sentiasa menjadi bualan, selain ramai lagi pemain berbakat di sini,” katanya.
Sebagai antara penyerang muda paling menyerlah di Indonesia, Ramadhan dikenali dengan penyudah tajam serta kepintaran membaca permainan dalam kotak penalti.
Namanya melonjak selepas menjadi nadi kepada kejayaan skuad bawah 23 tahun Indonesia menjuarai Sukan SEA 2023. Beliau turut mencuri tumpuan apabila menjaringkan dua gol dalam kemenangan dramatik 5-2 ke atas Thailand di pentas akhir.
Selain itu, penyerang berbakat ini juga berjaya menjaringkan gol dalam aksi bersama skuad senior ketika Indonesia menewaskan Vietnam 3-0 dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026.
Prestasi cemerlang itu mengukuhkan kedudukan Ramadhan sebagai antara prospek paling bernilai di rantau Asia Tenggara, sekaligus menjadikan kemunculannya di Liga-M antara yang dinanti-nantikan peminat bola sepak tanah air.