sukan

TERKINI : Punca Utama Malaysia tarik diri dari CAFA 2025 akhirnya terjawab

Harimau Malaya terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025, sekali gus melepaskan peluang berharga untuk menguji kekuatan menentang pasukan elit Asia seperti Iran dan Tajikistan.

Perkara itu disahkan oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski, yang menyatakan keputusan itu bukanlah sesuatu yang mudah. Menurutnya, faktor utama penarikan diri adalah kekangan logistik serta kejohanan yang diadakan di luar kalendar rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Piala CAFA 2025 dijadual berlangsung dari 26 Ogos hingga 9 September. Pada awalnya, kejohanan itu dirancang sebagai medan penting bagi Harimau Malaya bagi persediaan ke Piala Asia serta pusingan kelayakan Piala Dunia. Namun, selepas undian yang meletakkan Malaysia sekelompok dengan pasukan ranking tinggi seperti Iran (kedua di Asia) dan Tajikistan (ranking ke-106 dunia), halangan mula timbul apabila dua perlawanan awal dijadual di luar jendela FIFA.

“Sudah tentu keputusan ini mengecewakan. Kami sangat bersemangat untuk menyertai CAFA 2025. Kami telah meneliti kemungkinan menyertai kejohanan ini dalam tarikh FIFA, namun undian menyebabkan jadual menjadi rumit dan operasi logistik semakin mencabar,” ujar Peter dalam satu sidang media khas.

Ketiadaan tarikh FIFA menyebabkan ramai pemain utama, terutamanya yang bermain di luar negara seperti Sepanyol, Colombia dan Argentina, tidak dapat dilepaskan oleh kelab masing-masing.

“Ia menjadi sangat mencabar untuk pemain-pemain ini datang ke Tajikistan dan bersedia dengan sempurna. Saya tidak mahu berkompromi dengan aspek kesediaan pemain,” jelas jurulatih berusia 45 tahun itu.

Peter turut menegaskan bahawa jika tidak dapat membawa skuad penuh, adalah lebih baik untuk fokus pada jendela FIFA yang lebih sesuai untuk persiapan dan logistik. Menurutnya, beliau hanya mahu menyertai kejohanan dengan pasukan yang lengkap serta berdaya saing.

“Kami bukan ke sana hanya untuk mencukupkan bilangan pasukan, tetapi untuk cuba menang. Oleh itu, jika kekuatan sebenar tidak dapat diturunkan, keputusan untuk menarik diri adalah langkah paling rasional,” tambah beliau.

Sebagai alternatif, Harimau Malaya dijangka menggunakan jendela FIFA pada September akan datang untuk mengadakan perlawanan persahabatan bertaraf A, sebagai persiapan sebelum menyambung kempen kelayakan Piala Dunia pada Oktober dan November.