“Anda tidak pernah kalah sebelum bermain,” ujar Garrath McPherson, ketua jurulatih skuad B-23 Filipina, selepas mengejutkan pasukan Malaysia B-23 dalam aksi pertama Kumpulan A di Piala Mandiri ASEAN B-23 yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.
McPherson, jurulatih dari Australia yang baru empat hari dilantik mengetuai pasukan muda The Azkals sebelum kejohanan bermula, menjadikan kemenangan ini sebagai titik mula yang membanggakan.
“Ramai tertanya adakah keputusan ini sesuatu yang mengejutkan? Jawapan saya, tidak. Ibu bapa saya pernah berpesan bahawa kita tidak pernah kalah dalam sesuatu perlawanan selagi belum bermain,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan.
Tambah beliau, segala yang dilakukan oleh pasukan ketika sesi persiapan hanyalah untuk kekal autentik dan yakin terhadap kemampuan sendiri.
“Saya tidak akan berada di tepi padang jika saya tidak percaya pasukan saya mampu mencipta kejayaan,” jelasnya.
McPherson turut menyatakan bahawa tugas utama seorang jurulatih adalah memberi inspirasi kepada pemain-pemainnya.
“Saya melihat semangat dan kualiti dalam skuad ini. Mereka hanya perlu diberi peluang untuk membuktikan sejauh mana keupayaan sebenar mereka.”
Malaysia B-23 menguasai sebahagian besar permainan dengan kawalan bola yang mantap, namun gagal memecahkan kebuntuan jaringan.
Sebaliknya, dua serangan balas pantas oleh The Azkals menerusi pemain muda berbakat, Otu Abang Banatao, pada separuh masa pertama menjadi penentu keputusan.
Dengan jaringan itu, Filipina berjaya membawa pulang tiga mata penting, mencetuskan harapan tinggi buat pasukan muda mereka dalam kejohanan ini.