Beregu utama negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, menepati jangkaan apabila meraih kemenangan bergaya untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun yang berlangsung di Tokyo hari ini.
Gandingan profesional negara itu mempamerkan aksi mantap apabila menewaskan lawan dari Kanada, Kevin Lee dan Alexander Lindeman, dengan keputusan straight set dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo.
Dalam kejohanan berstatus Super 750 itu, pasangan Malaysia memulakan langkah dengan yakin apabila berjaya mengatasi cabaran lawan di set pertama dengan mata 21-13.
Usaha Kevin dan Lindeman untuk bangkit di set kedua berjaya dipatahkan apabila pengalaman serta gandingan mantap Goh-Izzuddin mengukuhkan kedudukan mereka untuk menang 21-15, sekaligus mengesahkan kemaraan dalam masa hanya 23 minit.
Dengan kemenangan itu, mereka dijadualkan bertemu pemenang antara pasangan tuan rumah Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita atau pasangan dari Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin pada pusingan kedua yang bakal berlangsung Khamis ini.
Dalam perkembangan lain, beregu wanita negara, Ong Xin Yee dan Carmen Ting, gagal meneruskan kemaraan ke kelompok 16 terbaik apabila tewas dalam aksi getir tiga set menentang pasangan tuan rumah, Rin Iwanaga dan Kie Nakanishi.
Walaupun bermula cemerlang dengan kemenangan 21-17 di set pertama, pasangan muda negara itu tidak mampu mengekalkan rentak apabila kalah dengan mata 8-21, 8-21 pada dua set berikutnya dalam perlawanan yang berlangsung selama 56 minit.
Kekalahan tersebut sekali gus menamatkan cabaran mereka dalam edisi kali ini walaupun menunjukkan semangat juang yang tinggi pada permulaan perlawanan.