TERKINI : Keputusan aksi Malaysia berdepan Filipina

Harapan tinggi skuad B-23 negara untuk memulakan kempen Piala Mandiri ASEAN B-23 dengan nota positif tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Filipina dalam perlawanan pertama Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Kekalahan itu hadir hasil dua jaringan pantas oleh penyerang The Azkals, Otu Abang Banatao, yang masing-masing disempurnakan pada minit ke-9 dan ke-40. Kedua-dua gol tersebut berpunca daripada gerakan serangan balas dari bahagian kiri padang yang menyaksikan benteng pertahanan negara gagal menyekat kemaraan pemain lawan.

Penjaga gol negara, Zulhilmi Sharani, tidak mampu menahan dua percubaan berkenaan walaupun cuba menutup ruang, manakala kapten Harimau Muda, Ubaidullah Shamsul Fazili, dilihat gagal kembali ke posisinya tepat pada waktunya untuk membantu pertahanan.

Pasukan kendalian Nafuzi Zain itu pada hakikatnya mempamerkan penguasaan bola yang baik sepanjang perlawanan, namun ketumpulan jentera serangan nyata menghukum mereka apabila gagal memanfaatkan peluang yang terhidang.

Dalam separuh masa kedua, Harimau Muda melipat gandakan serangan dengan beberapa percubaan ke arah gawang lawan, namun masih belum berhasil menembusi pertahanan kukuh Filipina yang berjaya mempertahankan kelebihan mereka sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia bermula dengan langkah kiri dalam kempen kali ini dan perlu segera bangkit untuk memastikan peluang mara ke peringkat seterusnya tidak terjejas.

Skuad negara akan kembali beraksi menentang Brunei dalam perlawanan kedua kumpulan yang dijadual berlangsung di gelanggang yang sama pada hari Jumaat ini. Kemenangan wajib dicari bagi menghidupkan kembali peluang untuk mara ke peringkat kalah mati.