Komen Nafuzi selepas dimalukan Filipina

 Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain, mengakui kelemahan di bahagian pertahanan menjadi faktor utama kekalahan pasukannya kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejuaraan AFF B-23 2025 yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia tewas 0-2 kepada skuad muda Filipina. Menurut Nafuzi, skuad kendaliannya menunjukkan semangat juang tinggi meskipun rata-rata pemain masih kurang berpengalaman di peringkat antarabangsa.

“Secara keseluruhan, pertahanan kita ada sedikit kelekaan dan gugup di awal permainan, dan itu memberi ruang kepada Filipina menjaringkan gol. Kami cuba bangkit dan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan seri, tetapi apabila ketinggalan, ia menjadi lebih sukar,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Beliau turut menegaskan bahawa kebanyakan pemain dalam skuad kali ini berusia sekitar 19 hingga 21 tahun dan perlawanan tersebut merupakan peluang terbaik untuk mereka menimba pengalaman serta kematangan sebagai persediaan masa depan.

Sementara itu, dua pemain utama, Alif Izzuan dan Muhammad Haqimi Azim Rosli, mengalami kecederaan ketika aksi berlangsung. Menurut Nafuzi, pihaknya sedang menunggu laporan lanjut daripada pasukan perubatan bagi mengetahui tahap kecederaan kedua-dua tonggak tersebut.

Dalam masa yang sama, Nafuzi turut mengajak penyokong bola sepak tanah air untuk memberikan sokongan penuh kepada skuad negara, lebih-lebih lagi jika pasukan layak ke pusingan seterusnya dan bakal menentang tuan rumah, Indonesia.

“Sokongan peminat penting. Walaupun mereka tiada di sini, saya tahu pasukan tetap mendapat sokongan daripada Malaysia. Saya mohon maaf kerana tidak dapat menghadiahkan kemenangan, namun kami akan memperbaiki persiapan untuk menentang Brunei pada Jumaat dan Indonesia nanti, yang pastinya sukar,” jelasnya lagi.

Kekalahan ini merupakan satu tamparan awal buat pasukan negara, namun ia juga dijadikan pengajaran penting bagi memperkemas strategi dan menyesuaikan rentak permainan menjelang aksi-aksi seterusnya dalam kejohanan ini.

Dengan baki dua perlawanan penting yang perlu dihadapi, tumpuan kini terarah kepada bagaimana skuad muda Malaysia akan bangkit semula dan menunjukkan keupayaan sebenar mereka dalam saingan serantau ini.