sukan

FIFA beri amaran kepada Erick Thohir , terpaksa lepaskan jawatan

 Presiden Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir, mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil susulan teguran rasmi yang diterima daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

 FIFA menegaskan bahawa adalah bertentangan dengan amalan pengurusan bola sepak antarabangsa apabila seorang presiden sesebuah persatuan juga memegang jawatan lain dalam organisasi yang sama. Justeru itu, Erick bakal digantikan dengan individu yang lebih sesuai dan memenuhi kriteria ditetapkan.

“Saya sudah ditegur oleh FIFA. Belum ada lagi di dunia seorang presiden juga menyandang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil,” ujar Erick ketika mengulas perkara tersebut.

Erick menjelaskan bahawa pelantikan beliau sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut hanyalah bersifat sementara. Tujuannya adalah untuk membantu proses transisi dan memberikan bimbingan kepada Yoshimi Ogawa, yang bakal memikul tanggungjawab sepenuhnya dalam sektor pengadilan bola sepak negara.

Menurut beliau, penglibatan Ogawa dalam sistem teknikal PSSI bermula sejak tahun 2023 dan beliau kini sedang menyesuaikan diri dengan corak dan landskap bola sepak Indonesia.

“Ogawa akan stres ketika tahun pertamanya kerana belum memahiri landskap bola sepak kita. Jadi saya hanya membantu dia sebelum melepaskan jawatan ini,” tambah Erick.

Kerjasama antara Ogawa dan PSSI turut melibatkan pengajaran daripada model yang dilaksanakan oleh Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), yang dilihat berkesan dalam membangunkan mutu pengadilan serta profesionalisme pengadil di lapangan.

Perubahan ini dianggap penting bagi memastikan sistem pengadil di Indonesia berkembang secara profesional dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan.

Langkah Erick dilihat sebagai satu tindakan bertanggungjawab dan selari dengan prinsip tadbir urus yang baik seperti yang dituntut oleh FIFA.