“Budak U” sebenarnya yang ‘ajar’ Malaysia

 Impian skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan untuk memulakan kempen Piala ASEAN B-23 2025 dengan langkah kanan tidak menjadi kenyataan selepas mereka tewas 0-2 kepada pasukan Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A yang berlangsung sebentar tadi.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta itu menyaksikan skuad muda Harimau Malaya di bawah bimbingan jurulatih Nafuzi Zain menurunkan barisan terkuat. Barisan serangan diterajui oleh tiga pemain utama iaitu Fergus Tierney, Aliff Izwan Yuslan dan Haqimi Azim Rosli.

Bagaimanapun, pasukan Filipina yang diwakili majoritinya oleh pemain bertaraf universiti berjaya mengejutkan pertahanan negara seawal minit ke-9. Serangan balas pantas dimanfaatkan dengan baik oleh pemain lawan, Otu Bisong, yang melakukan penyudah kemas untuk membuka tirai jaringan.

Tidak terhenti di situ, Otu Bisong sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kedua pasukannya sebelum tamat separuh masa pertama. Kali ini, kelekaan benteng pertahanan Malaysia memberikan ruang kepada penyerang dari Old Dominion University itu untuk berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol dan menyempurnakan peluang tersebut.

Memasuki separuh masa kedua, skuad negara mula menggandakan tekanan dan mengasak ke kubu lawan. Namun, jentera serangan dilihat kurang tajam apabila beberapa peluang keemasan gagal dimanfaatkan dengan baik. Selain itu, barisan pertahanan Filipina juga beraksi cemerlang dan berjaya mengekang segala ancaman sehingga wisel penamat.

Kekalahan ini sekaligus meletakkan skuad negara dalam keadaan sukar untuk melangkah ke separuh akhir. Ini kerana hanya juara kumpulan dan satu pasukan naib juara terbaik sahaja yang akan layak secara automatik ke pusingan seterusnya.

Malaysia selepas ini akan menghadapi Brunei dalam perlawanan kedua Kumpulan A yang dijadualkan pada hari Jumaat. Aksi tersebut menjadi medan penting untuk meraih kemenangan dan menghidupkan semula peluang ke separuh akhir. Seterusnya, pasukan kebangsaan bakal berdepan cabaran getir menentang tuan rumah, Indonesia atau lebih dikenali sebagai Garuda Muda, di lokasi yang sama pada 21 Julai.

Meskipun tewas pada aksi pembukaan, harapan masih belum padam sepenuhnya. Tumpuan kini harus diberikan kepada pemulihan psikologi dan taktikal menjelang dua perlawanan seterusnya yang bakal menentukan nasib Malaysia di Piala ASEAN B-23 kali ini.