Kenyataan berani Cristiano Ronaldo yang suatu ketika dahulu dianggap angkuh dan dipandang sinis oleh ramai, kini seakan menjadi realiti selepas kemenangan Chelsea dalam Piala Dunia Kelab FIFA baru-baru ini.
Pasukan kendalian Enzo Maresca itu menjuarai edisi sulung Piala Dunia Kelab dalam format baharu yang diperluas, setelah menumpaskan Paris Saint-Germain (PSG) dengan keputusan 3-0 di Stadium MetLife, New Jersey. Dua jaringan Cole Palmer dan satu daripada pemain baharu, Joao Pedro, sudah memadai untuk memastikan Chelsea berada tiga gol di depan seawal separuh masa pertama.
Dalam perlawanan yang penuh intensiti itu, PSG beraksi dengan 10 pemain apabila Joao Neves dilayangkan kad merah selepas menarik rambut Marc Cucurella. Insiden tersebut berlaku lewat separuh masa kedua dan menyaksikan PSG gagal bangkit semula.
Cristiano Ronaldo, yang masih aktif beraksi pada usia 40 tahun bersama kelab Al Nassr dalam Liga Pro Saudi, sebelum ini pernah menyuarakan tiga pandangan kontroversi yang kini dilihat semakin terbukti kebenarannya. Pemain legenda itu, yang telah berkelana bersama Sporting Lisbon, Manchester United, Real Madrid dan Juventus sebelum ke Timur Tengah, merupakan pemilik lima Ballon d’Or dan lima gelaran Liga Juara-Juara UEFA.
Dalam satu temu bual terdahulu, Ronaldo menyatakan bahawa Liga Pro Saudi memiliki kualiti yang lebih baik berbanding MLS di Amerika Syarikat, serta menolak kemungkinan mengikut jejak Lionel Messi ke sana.
“Amerika Syarikat? Tidak, liga Saudi jauh lebih baik daripada liga di Amerika Syarikat,” ujar Ronaldo ketika itu.
Beliau turut mengakui bahawa hanya Liga Perdana Inggeris (EPL) yang masih mengekalkan tahap kompetitif tertinggi, berbanding liga utama lain di Eropah yang dilihat semakin merosot dari segi kualiti. Antara liga yang disebut ialah La Liga, Bundesliga dan juga Liga Portugal.
“Eropah kehilangan banyak kualiti. Satu-satunya liga yang masih terbaik ialah EPL,” katanya. “La Liga sudah hilang tahapnya, liga Portugal bukan liga utama, Bundesliga pun kehilangan banyak kualiti.”
Ronaldo turut mengkritik Ligue 1 di Perancis dengan menyatakan PSG adalah satu-satunya kelab kompetitif di negara itu. Katanya, “Liga Saudi lebih baik daripada Ligue 1, sudah tentu. Perancis hanya ada PSG. Yang lain sudah tamat.”
Beliau turut menegaskan faktor cuaca di Saudi menjadikan liga itu lebih mencabar, menyebut, “Cuba berlari dalam cuaca 38, 39 atau 40 darjah dan lihatlah sendiri.”
Kini, kemenangan Chelsea menjuarai Piala Dunia Kelab dan kejayaan PSG sebagai naib juara serta kemenangan Al Hilal menewaskan Manchester City dalam pusingan 16 terakhir memberi bukti kepada hujah Ronaldo. Sementara itu, kekalahan besar Inter Miami kepada PSG (0-4) pula menguatkan lagi dakwaan beliau tentang kelebihan Liga Pro Saudi berbanding MLS.
Kejayaan demi kejayaan kelab EPL dan pasukan dari Liga Pro Saudi mengangkat kredibiliti pandangan seorang legenda bola sepak dunia.