Pasaran makin tenat, pemain berstatus ‘bintang’ jual mahal

Krisis kewangan yang melanda pasaran bola sepak Malaysia memberi kesan langsung kepada struktur gaji pemain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M). Kini, para pemain tidak lagi mampu menikmati gaji lumayan seperti era kegemilangan terdahulu, sebaliknya terpaksa menerima bayaran yang lebih rendah demi kelangsungan karier.

Pemerhati bola sepak tanah air, Sulaiman Hussin menekankan bahawa pemain perlu berpijak di bumi nyata dan memahami situasi sebenar yang sedang berlaku dalam landskap bola sepak negara. Menurut beliau, kemerosotan kewangan dalam kalangan pasukan menjadi faktor utama kepada perubahan drastik dalam struktur bayaran gaji.

“Pasaran bola sepak kita tidak seperti dahulu. Faktor kewangan jelas memainkan peranan utama apabila kebanyakan pasukan menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan mereka. Oleh itu, kuasa pemain untuk meletakkan permintaan tinggi terhadap gaji semakin berkurangan,” ujar beliau.

Sulaiman turut menyuarakan kebimbangan terhadap sikap segelintir pemain yang masih mahu mengekalkan status sebagai ‘bintang’ dengan permintaan gaji tinggi walaupun keadaan pasaran tidak menyokong. Beliau memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh menyebabkan pemain tersebut terpinggir daripada pentas bola sepak tempatan.

“Jika ada pemain yang berkeras mahu gaji tinggi, mereka akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pasukan. Sebahagian besar terpaksa menerima gaji yang jauh lebih rendah berbanding sebelum ini demi survival mereka sebagai pemain profesional,” tambahnya lagi.

Katanya, pemain perlu menerima hakikat bahawa bola sepak adalah sumber rezeki mereka, dan tanpa pasukan untuk disertai, kerjaya mereka akan menghadapi risiko besar.

“Jika tiada pasukan yang sanggup menampung permintaan gaji, itu menjadi satu masalah. Saya melihat ramai pemain pada masa ini harus mengelakkan sikap terlalu memilih kerana tidak banyak pasukan yang mempunyai kemampuan kewangan untuk memenuhi permintaan tinggi daripada pemain,” jelas Sulaiman.

Saranan utama beliau adalah supaya para pemain lebih realistik dalam membuat keputusan mengenai masa depan mereka. Katanya, “Perkara paling penting ketika ini adalah memastikan mereka terus berada dalam pasukan dan tidak tersingkir daripada saingan.”

Senario semasa menunjukkan keperluan mendesak untuk pemain bola sepak tempatan menyesuaikan diri dengan norma baharu industri sukan negara. Dalam keadaan ekonomi pasukan yang lemah, keupayaan pemain untuk meletakkan tuntutan gaji yang tinggi semakin terhad. Langkah bijak dan kompromi diperlukan bagi memastikan kesinambungan karier dan daya saing dalam dunia bola sepak profesional.