Manchester United bakal berdepan tindakan undang-undang

 Bekas pemain pertahanan Manchester United, Axel Tuanzebe dilaporkan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas majikannya itu atas dakwaan kecuaian klinikal. Laporan oleh The Telegraph mendedahkan bahawa pemain berusia 27 tahun itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi berhubung nasihat perubatan yang diterimanya semasa bersama kelab tersebut.

Tuanzebe, yang kini bersama kelab Burnley, memulakan kariernya di akademi United sejak usia lapan tahun dan pernah mengetuai pasukan remaja pada setiap peringkat. Namun, perjalanan kariernya di Old Trafford sering terganggu akibat kecederaan yang berpanjangan, dan beliau hanya merekodkan 37 penampilan bersama skuad utama sebelum meninggalkan kelab itu pada tahun 2023.

Menurut laporan itu lagi, peguam yang mewakili Tuanzebe enggan memberikan komen lanjut mengenai tuntutan undang-undang tersebut, yang difailkan sekitar dua tahun lalu selepas pemain itu menamatkan khidmatnya bersama Manchester United. Pihak kelab juga enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Sepanjang bersama Red Devils, Tuanzebe pernah dipinjamkan ke beberapa kelab termasuk Aston Villa, Napoli dan Stoke City. Antara detik paling diingati dalam kariernya adalah ketika beliau berjaya mengekang penyerang sensasi Perancis, Kylian Mbappe dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain.

Namun, meskipun menunjukkan potensi tinggi, kecederaan berulang menyebabkan beliau gagal mengekalkan tempat sebagai pemain utama di Manchester United. Menariknya, sejak menyertai Burnley, beliau telah membuat lebih banyak penampilan dalam tempoh dua musim berbanding tujuh tahun bersama pasukan senior United.

Masalah kecederaan Tuanzebe bermula pada Oktober 2019 apabila beliau mengalami kecederaan pinggul sewaktu memanaskan badan menjelang pertembungan menentang Liverpool yang berkesudahan seri 1-1. Selepas itu, beliau kembali ke bilik rawatan selepas mengalami kecederaan ketika perlawanan Piala Carabao menentang Colchester pada Disember.

Musim berikutnya, kecederaan kaki pula menyebabkan beliau terlepas permulaan musim, diikuti kecederaan yang memaksanya berehat sehingga Januari musim 2022/2023. Keadaan kesihatan beliau terus menjadi isu berlarutan termasuk satu insiden di luar padang pada Oktober lalu, apabila beliau terpaksa menjalani pembedahan selepas jarinya cedera ketika membasuh pinggan mangkuk di rumah.

Beliau juga terlepas empat perlawanan disebabkan insiden tersebut, sebelum sekali lagi direhatkan dari Disember hingga pertengahan Januari akibat kecederaan hamstring. Pada bulan Mac, beliau kembali diketepikan selepas mengalami patah ibu jari.