Bekas pemain badminton beregu campuran negara, Goh Liu Ying, mencipta sejarah apabila namanya secara rasmi diabadikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) susulan pencapaiannya di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.
Liu Ying, yang bergandingan dengan Chan Peng Soon pada ketika itu, menerima penghormatan sebagai wanita pertama dari Malaysia yang meraih pingat Olimpik dalam acara badminton. Gandingan mereka pulang dengan pingat perak selepas menempuh cabaran getir di temasya sukan berprestij tersebut.
“Daripada menghambat bulu tangkis di gelanggang kepada kurniaan penghormatan negara. Terima kasih, Malaysia Book of Records atas anugerah ini. Semoga ini memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk percaya dengan keupayaan sendiri. Impian Olimpik menjadi kenyataan,” ujar Liu Ying dalam satu kenyataan rasmi.
Pada aksi final, mereka tewas kepada pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir, namun kejayaan mara ke pentas akhir itu sendiri sudah cukup untuk menjadi kebanggaan negara.
Apa yang lebih mengagumkan ialah Liu Ying berjaya bangkit dan mempamerkan prestasi cemerlang biarpun hanya dua tahun sebelum itu beliau menjalani pembedahan di kedua-dua lutut. Komitmen dan ketabahan yang ditunjukkan menjadi simbol ketekunan atlet wanita negara.
Sebagai rekod, pencapaian seumpamanya hampir diulangi oleh beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, dalam Sukan Olimpik Paris tahun lalu. Bagaimanapun, mereka terpaksa akur di tempat keempat selepas tewas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.
Pengiktirafan ini menjadikan Goh Liu Ying sebagai ikon inspirasi sukan negara, terutamanya kepada generasi atlet muda wanita yang bercita-cita untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.