“Garrath bukan orang baharu” — Nafuzi

 Jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Nafuzi Zain, memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak leka dengan perubahan dalam barisan kejurulatihan Filipina yang bakal menjadi lawan pertama Malaysia dalam aksi pembukaan Piala Mandiri ASEAN B23 2025 di Stadium Gelora Bung Karno, esok.

Walaupun Filipina baru sahaja mengumumkan Garrath McPherson sebagai pengendali baharu pasukan empat hari sebelum kejohanan bermula, Nafuzi menegaskan bahawa perubahan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang rendah keupayaan lawan.

“Garrath bukan orang baharu di Filipina. Walaupun baru diumumkan secara rasmi sebagai jurulatih, dia telah berada di sana selama dua tahun. Filipina mempunyai pemain berkualiti yang beraksi di tahap tertinggi, jadi kami tidak boleh ambil mudah,” ujar Nafuzi.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan pelantikan pertahanan berpengalaman, Ubaidullah Shamsul Fazili, sebagai kapten pasukan Harimau Muda.

Menurut Nafuzi, pengalaman Ubaidullah bersama skuad senior negara menjadi sandaran utama dalam memimpin pasukan muda negara menghadapi saingan peringkat kumpulan.

“Ubai telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam edisi lalu dan baru sahaja selesai bersama skuad kebangsaan. Saya percaya dia mampu memberikan ketenangan dan kepimpinan di atas padang,” jelas beliau.

Nafuzi juga menegaskan bahawa skuad Malaysia perlu mengekalkan fokus sepenuhnya sepanjang 90 minit perlawanan bagi mengelakkan kejutan daripada pasukan muda Filipina yang dijangka tampil dengan semangat baharu di bawah kendalian McPherson.

“Kita perlu bersedia dari semua aspek, baik fizikal mahupun mental. Ini bukan masa untuk mengambil mudah mana-mana pasukan,” tegasnya.

Aksi antara Malaysia dan Filipina dijangka menjadi penentu penting dalam laluan kedua-dua pasukan ke peringkat seterusnya dalam kejohanan yang menghimpunkan pasukan-pasukan muda terbaik rantau ASEAN.