Harapan Sabah FC untuk mencabar kehebatan juara Liga 1 Thailand, Buriram United tidak kesampaian apabila mereka tewas dengan keputusan besar 2-8 dalam aksi persahabatan sempena Piala Sumbangsih ASEAN yang berlangsung di Stadium Rainbow, Pattani.
Pertembungan itu menyaksikan kelab gergasi Thailand, Buriram United tampil garang sebaik sepak mula dengan menguasai permainan sejak awal perlawanan. Gol pertama hadir seawal minit ketiga menerusi penyerang prolifik, Supachai Chaided yang mudah menewaskan penjaga gol Sabah.
Skuad kendalian Martin Stano terus diasak bertubi-tubi dan gagal mengekang kelincahan jentera serangan tuan rumah. Supachai sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-26 sebelum rakan sepasukannya, Fejsal Mulic menambah jaringan ketiga pada minit ke-39 bagi meletakkan Buriram di depan 3-0 pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, corak permainan Buriram kekal agresif dan tidak memberi ruang kepada Sang Badak untuk bangkit. Pemain import mereka, Guillerme Bissoli menyumbang jaringan keempat sebelum Sabah mula menunjukkan reaksi balas.
Stuart Wilkins berjaya merobek gawang lawan bagi memberikan sedikit harapan kepada Sabah, diikuti jaringan oleh pemain muda berbakat Azhad Harraz Arman. Namun, kebangkitan itu hanyalah sementara.
Buriram kembali memperkemaskan serangan dengan Nemanja Nikolic menjadi watak utama apabila meledak hatrik dalam tempoh singkat. Kenneth Douglas melengkapkan pesta gol buat Buriram dengan jaringan kelapan, sekaligus menamatkan perlawanan dengan keputusan memihak kepada tuan rumah.
Sabah FC yang menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga ketiga dianggap sebagai antara kelab paling konsisten dalam kancah bola sepak tempatan sejak beberapa tahun lalu. Namun, kekalahan ini mendedahkan jurang yang masih perlu diperbaiki sebelum saingan sebenar bermula.
Liga Malaysia musim 2025/2026 dijadualkan bermula bulan hadapan dengan Sabah bakal melayan kunjungan Melaka FC pada aksi pembukaan yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 10 Ogos nanti.