Saya terlupa sudah hampir 50 tahun – KJ

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, melengkapkan cabaran larian 21 kilometer (km) Score Marathon AIA Vitality di Putrajaya pada Ahad lalu, meskipun terpaksa berdepan dengan keletihan fizikal serta laluan mencabar.

“Saya terlupa sudah hampir 50 tahun (usia),” ujar Khairy yang kini berusia 49 tahun selepas menamatkan acara tersebut, sekali gus menarik perhatian ramai dengan semangat dan ketahanan yang dipamerkannya.

Khairy turut mendedahkan bahawa beliau sebenarnya meletakkan sasaran untuk menghabiskan larian dalam tempoh di bawah dua jam 10 minit. Namun, kekangan pemulihan susulan penyertaan berturut-turut dalam acara lain menjejaskan perancangannya.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran, hanya berlari sahaja,” katanya ketika ditemui media selepas tamat larian.

Acara tahunan Score Marathon AIA Vitality mencatatkan kejayaan besar apabila berjaya menghimpunkan lebih 33,000 peserta tahun ini, menjadikannya antara maraton terbesar pernah diadakan di negara ini.

Khairy, yang pernah menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dari 2013 hingga 2018, juga mengakui kepenatan yang dialami berpunca daripada penyertaan dalam beberapa acara kompetitif sebelum ini termasuk Powerman dan Hyrox.

“Buat Powerman, kemudian Hyrox dan hari ini (Ahad) ‘half marathon’ secara berturut-turut, memang tidak cukup masa untuk proses pemulihan. Jadi memang saya tahu awal-awal PB (personal best) memang sukar dicapai,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut berkongsi pandangannya tentang laluan larian edisi kali ini yang menurutnya lebih mencabar berbanding tahun-tahun sebelumnya, meskipun berlangsung di lokasi yang sering dianggap rata dan sesuai untuk pelari.

“Laluan kali ini lebih mencabar daripada biasa. Walaupun kita berlari di Putrajaya, laluan yang dipilih agak ‘rolling’ dan berbukit. Jadi memang bukan larian mudah,” ujarnya.

Menyentuh aspek penganjuran, Khairy tidak teragak-agak memberikan pujian terhadap Score Marathon yang kini mencapai tahap antarabangsa serta mematuhi piawaian global dalam penganjuran acara larian.

“Score Marathon bermula semasa saya di Kementerian Belia dan Sukan. Hari ini kita dapat lihat betapa pesatnya perkembangan acara ini dengan lebih 33,000 penyertaan. Ini bukti ia antara maraton terbaik dari segi penganjuran,” kata beliau.

Khairy turut menzahirkan rasa bangga dengan perkembangan positif acara tersebut yang menjadi antara tarikan utama penggemar sukan larian tanah air dan antarabangsa.