sukan

Dharma jadi ‘kesayangan’ Indonesia

Enam tahun merantau di negara jiran bukanlah suatu jangka masa yang singkat, apatah lagi bagi individu yang meninggalkan keluarga dan tanah air demi membina karier. Itulah yang dilalui oleh bekas jurulatih skuad hoki senior negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, yang kini memainkan peranan penting sebagai Pengarah Teknikal Federasi Hoki Indonesia (FHI).

Dharma Raj, yang mula menjejakkan kaki ke bumi Indonesia enam tahun lalu, tidak pernah menyangka dirinya mampu bertahan selama itu. Namun, sambutan mesra dan penghargaan yang diberikan oleh rakyat serta persatuan hoki di sana membuatkan beliau enggan berpatah balik ke tanah air.

“Saya hanya bermula dengan melatih pasukan Wilayah Jawa Barat sebelum menerima tawaran lebih besar. Kini saya menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal, namun saya masih turun ke padang memberi tunjuk ajar kepada pemain hoki padang dan hoki dalam dewan,” katanya.

Kenangan manis yang tidak dapat dilupakan oleh Dharma Raj sepanjang kariernya di Indonesia ialah kejayaan membimbing skuad hoki dalam dewan negara itu meraih pingat emas di temasya Sukan Sea 2023, dengan menewaskan Malaysia di pentas akhir.

“Kejayaan itu memberikan impak besar kepada pembangunan sukan hoki di Indonesia. Pemain turut menerima pelbagai insentif dan semangat mereka sangat tinggi. Bagi saya, masyarakat Indonesia menghargai kerja keras jurulatih asing sekiranya mereka percaya dan yakin dengan keupayaan individu tersebut,” jelasnya.

Dharma turut berkongsi bahawa selain penghargaan moral, faktor kewangan juga menjadi pemangkin untuk beliau terus kekal di Indonesia.

“Gaji yang saya terima di sini jauh lebih baik berbanding semasa saya menjadi jurulatih di Malaysia. Malah, bonus yang diberikan selepas kejayaan di Sukan Sea juga sangat lumayan,” tambahnya, walaupun beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar pendapatannya.

Sebagai bekas pemain kebangsaan, Dharma memiliki profil yang membanggakan. Antara pencapaian cemerlang beliau ialah membimbing Skuad Projek 2013 menjuarai edisi pertama Piala Sultan Johor pada tahun 2011 serta menjuarai Piala Remaja Asia di Melaka pada 2012.

Malah, di bawah bimbingannya, skuad remaja negara berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia Remaja 2013 di India dan menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Dharma juga pernah membimbing skuad senior negara mara ke pentas akhir Piala Sultan Azlan Shah 2014 dan memberi saingan sengit kepada pasukan hebat dunia seperti Australia.

Pengalaman luasnya bukan sahaja di peringkat lelaki, malah beliau turut berjaya memajukan skuad wanita negara dan membantu skuad hoki dalam dewan wanita merangkul emas di Sukan Sea 2019 di Filipina.

Kini, walaupun berjauhan dengan keluarga di Malaysia, Dharma tetap setia dengan tugasnya di Indonesia, hasil keyakinan dan penghargaan yang diterimanya di sana.