sukan

Bakal didenda dan diminta mohon maaf

Presiden Sporting CP, Frederico Varandas memberi amaran tegas terhadap penyerang utama pasukan, Viktor Gyokeres yang gagal menghadirkan diri dalam sesi latihan pramusim seperti dijadualkan. Ketidakhadiran pemain antarabangsa Sweden itu disifatkan sebagai tindakan yang tidak profesional dan bakal menerima tindakan disiplin daripada pihak kelab.

Gyokeres, 27, yang sepatutnya menyertai sesi latihan di Algarve semalam selepas diberi cuti lanjutan, gagal muncul bersama skuad utama Sporting CP. Keadaan ini berlaku di tengah-tengah spekulasi hangat mengenai perpindahannya ke kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal.

Presiden kelab, Frederico Varandas mengesahkan perkara itu dan menyatakan bahawa pihak kelab akan mengambil tindakan sewajarnya selepas jendela perpindahan berakhir.

“Kami tenang. Semuanya akan diselesaikan selepas jendela perpindahan ditutup, dengan denda berat dan permohonan maaf kepada pasukan,” katanya kepada agensi berita Lusa.

Tambahnya lagi, sebarang usaha untuk memanipulasi keadaan bagi mempercepatkan perpindahan tidak akan berjaya kerana prinsip kelab lebih utama.

“Kalau ada yang fikir tindakan ini boleh menekan saya untuk benarkan perpindahan berlaku, mereka bukan saja silap besar, malah sedang menyukarkan lagi proses perpindahan pemain itu,” tegas Varandas.

Presiden itu turut memberi amaran bahawa kelab tidak teragak-agak untuk mengekalkan Gyokeres selama tiga tahun lagi sekiranya tiada kelab yang bersedia membayar nilai pasaran yang ditetapkan.

“Jika ada pihak yang tidak mahu membayar harga pasaran yang adil untuk Viktor, kami tiada masalah untuk kekalkan dia selama tiga tahun lagi,” ujarnya.

Viktor Gyokeres menyertai Sporting CP dari Coventry City pada tahun 2023 dan sejak itu telah menjadi nadi utama serangan pasukan. Beliau menjaringkan 97 gol dalam 102 perlawanan dan memainkan peranan penting dalam kejayaan Sporting merangkul kejuaraan Liga Primeira dua musim berturut-turut, iaitu pada musim 2023/24 dan 2024/25.

Walaupun isu ini mencetuskan ketegangan, Sporting masih meneruskan perancangan pramusim mereka seperti biasa. Pasukan dijadual menentang juara Liga Scotland, Celtic dalam aksi persahabatan di Estadio Algarve pada hari Rabu.

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak Arsenal berkenaan minat mereka terhadap Gyokeres, namun media antarabangsa melaporkan bahawa kelab tersebut sedang dalam rundingan untuk mendapatkan khidmat penyerang tersebut sebelum musim baharu bermula.

Situasi ini dijangka terus mencetuskan perhatian sepanjang tempoh perpindahan pemain sedang berlangsung, dan Sporting CP dijangka kekal berpegang kepada prinsip mereka untuk melindungi integriti kelab.